Lim Guan Eng, isteri didakwa hari ini
Astro Awani
Ogos 10, 2020 07:34 MYT
Ogos 10, 2020 07:34 MYT
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan isterinya akan dihadapkan ke Mahkamah Pulau Pinang melibatkan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Ini merupakan kali ketiga Ahli Parlimen Bagan itu dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh seminggu.
Dua daripada pertuduhan sebelum ini melibatkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Guan Eng bagaimanpun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan sebelum ini.
Hari ini, beliau dijangka dituduh mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Turut didakwa hari ini adalah isteri beliau Betty Chew atas pertuduhan berhubung penglibatannya dengan sebuah syarikat swasta, Excel Property Managment and Consultancy Sdn Bhd.
Siasatan itu adalah berkaitan perunding perundangan yang ditawarkannya kepada syarikat.
Pertuduhan ke atas Betty dikemukakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
Betty ditahan Jumaat lalu ketika hadir bersama adik iparnya, Lim Hui Ying untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Georgetown, Pulau Pinang.