'Lihat produktiviti dari sudut manfaat, tanggungjawab sosial'

Madiha Abdullah
Jun 29, 2022 09:15 MYT
Tafsiran produktiviti itu sendiri berbeza dan sukar untuk menyatukan semua pihak bagi mencapai impak yang diingini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Produktiviti perlu dilihat dari sudut tanggungjawab sosial bagi membolehkan semua pihak memahami dan memainkan peranan mereka dalam mewujudkan kehidupan yang sejahtera.
Pengarah Urusan Shamawar Group, Datuk Dr Shakir Husein Khalid berkata, tafsiran produktiviti itu sendiri berbeza dan sukar untuk menyatukan semua pihak bagi mencapai impak yang diingini.
"Apabila kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500, dari satu sudut ia menjadi tekanan kepada industri, dengan keadaan kita sedang dalam pemulihan krisis.
"Tetapi apa yang perlu ditekankan ialah, tidak kisah pemain industri ataupun pekerja, mereka perlu memahami konsep produktiviti yang diinginkan, serta satu tanggungjawab sosial, di mana perlu kita bekerja keras, seiring dengan masyarakat dan kerajaan.
"Ini untuk memastikan kita dapat mewujudkan produktiviti yang maksimum dan dalam masa yang sama membawa kesejahteraan hidup," katanya ketika muncul sebagai panel dalam Forum Produktiviti dan Daya Saing: Membina Produktiviti dan Kesejahteraan secara maya, pada Selasa.
Jelasnya, prinsip 3P oleh John Elkington juga antara yang boleh dijadikan panduan dalam mengenal pasti bentuk produktiviti dan kesejahteraan yang inigin dicapai.
"Prinsip 3P yang diketengahkan oleh John Elkington meletakkan profit, people dan planet, sebagai tanggungjawab yang perlu ada dalam industri dan juga dari sudut masyarakat.
"Ini kerana, kalau kita tekankan kepada, contohnya ahli perniagaan, dia melihat produktiviti ialah apabila dia dapat mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan tetapi bagi tenaga kerja.
"Apa yang mereka nilai ialah bagaimana dengan keuntungan yang ada tadi mereka boleh menaikkan taraf hidup mereka dan komuniti di sekeliling," tegasnya.
Sementara itu, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Suhaimee Saahar @Saabar pula menyifatkan komunikasi mampu menjadi elemen membentuk produktiviti dan kesejahteraan.
Namun, ia perlu dilihat dari aspek bagaimana mesej yang disampaikan mampu dimanfaatkan ke dalam industri dan menjadi nilai tambah kepada kemajuan ekonomi.
"Anak muda hari ini perlu perlu melihat bagaimana komunikasi digunakan, dari peringkat diri sendiri dan juga masyarakat yang akhirnya dapat merapatkan jurang komunikasi.
"Ia menjadi satu ukuran kepada kejayaan dalam memastikan matlamat organisasi dan industri tercapai," katanya yang juga Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (CMIWS) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM.
Tambahnya, penguasaan teknologi itu penting, tetapi elemen komunikasi atau mesej yang disampaikan juga perlu jelas manfaatnya.
"Dan, apakah komunikasi mampu dijalinkan dengan industri, dapat dijalinkan dalam bentuk penguasaan ekonomi dan dapat mengukuhkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat terutama kesejahteraan komuniti?
"Dari situ, komuniti tersebut dapat dipertingkatkan dalam konteks produktiviti, hasil dan nilai tambah dari sudut ekonomi," kata Suhaimee.
#produktiviti #kesejahteraan #pekerjaan #majikan #Pekerja
;