Lihat percikan api sebelum bas terbakar - Saksi

Sinar Harian
Januari 13, 2024 15:02 MYT
Bas ekspres yang membawa 28 penumpang terbakar dan seorang dilaporkan maut di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) awal pagi Sabtu. (Gambar kecil: Yafarah Taj) - Foto Sinar Harian
MELAKA : Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila hanya berada kira-kira 500 meter di belakang sebuah bas yang terbakar dalam insiden kemalangan di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) awal pagi Sabtu.
Jamaliah Md Isa, 38, yang bekerja sebagai juruukur bahan berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, dia sekeluarga dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kenderaan yang sedang dinaikinya berada di lorong kedua sebelum ternampak sebuah motosikal terbabas ke lorong kiri.
"Bagaimanapun sebuah bas datang dari arah belakang tidak dapat mengelak dan merempuh motosikal berkenaan.
"Selepas itu kami ternampak percikan api dan segera menghubungi talian kecemasan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan terbabit menyebabkan seorang pelancong wanita warga India maut manakala empat penumpang cedera selepas bas yang dinaiki mereka terbakar.
Pelancong asing maut, bas rentung terbakar di PLUS
Menurutnya, mangsa, Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 19, mengalami kecederaan terbakar pada badan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah manakala penunggang motosikal berusia 21 tahun hanya mengalami luka-luka di badan.
"Kemalangan itu turut menyebabkan bas yang membawa 28 penumpang warga Singapura dan India serta sebuah motosikal jenis Honda Dash terbakar.
"Empat ahli keluarga mangsa yang turut berada dalam bas terbabit mengalami kecederaan termasuk dua parah telah dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang penumpang maut manakala enam lagi cedera selepas bas dinaiki mereka terbakar.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#kemalangan maut #PLUS #saksi #motosikal terbabas #Hospital Alor Gajah
;