"Lihat keputusan UPSR secara holistik" - Mahdzir

Hilal Azmi
November 17, 2016 08:31 MYT
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra bersama murid-murid yang mendapat 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2016 di Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra hari ini. - Foto Bernama
Ibu bapa perlu melihat keputusan yang diperoleh anak mereka dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) secara holistik dan bukan sekadar jumlah A yang diperolehi.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata keputusan tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan tahun lalu berikutan mereka merupakah kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
BACA: UPSR 2016: 'Kenapa jadi begini?'
"Format instrumen yang berbeza pada tahun ini banyak melatih murid kemahiran berfikir terutama terhadap soalan berbentuk struktur.
"Apabila format baru ini dilaksanakan, format pembelajaran dan pembelajaran perlu ditingkatkan terutama dalam subjek sains dan matematik dalam meningkatkan kuasa pemikiran pelajar," katanya pada sidang media di Sekolah Rendah (SK) Bukit Rahman Putra, di sini hari ini.
Beliau membuat lawatan ke sekolah berkenaan susulan kejayaan 11 murid sekolah itu yang mendapat 6A dalam UPSR 2016.
Bagi keputusan seluruh negara, seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A.
Jumlah pencapaian itu adalah 1.11 peratus daripada 452,721 calon yang menduduki peperiksaan itu September lalu.
Turut hadir Guru Besar SK Bukit Rahman Putra, Aminah Said.
#Mahadzir Khalid #Ujian Pencapaian Sekolah Rendah #UPSR