Lihat anak jiran berlumuran darah
Sinar Harian
Julai 5, 2022 06:15 MYT
Julai 5, 2022 06:15 MYT
MELAKA: Jiran seorang warga emas yang ditikam anaknya sehingga mati di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini, pada Selasa, terkejut mendengar jeritan anak jirannya itu.
Peniaga, Jamaliah Md Jamil, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di hadapan kedai runcitnya yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mangsa sebelum anak jirannya berusia 30an menjerit meminta pertolongan dengan keadaan baju berlumuran darah.
Menurutnya, dia bergegas berlari ke arah rumah jirannya itu dalam masa sama meminta salah seorang penduduk kampung memanjat masuk ke dalam pekarangan rumah terbabit.
"Saya bersama beberapa penduduk yang lain masuk ke pekarangan rumah mangsa.
"Disebabkan tidak berani saya hanya menunggu di luar rumah sebelum penduduk lain beritahu jiran saya telah meninggal dunia dibunuh anak sulungnya," katanya katanya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, suspek yang kelihatan diam telah ditangkap oleh empat penduduk kampung dan diserahkan kepada polis.
"Dia tak melawan dan hanya duduk sehingga polis sampai. Saya tak pasti sama ada ketika itu dia sedang berkhayal atau tidak tetapi penduduk kampung memang tahu dia ada ambil barang (dadah)," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pesakit mental tergamak menikam ibunya sehingga mati selepas dipercayai terdengar bisikan menyuruh membunuh dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata, suspek berusia 38 tahun dan berstatus duda menikam ibunya, Rozizah Md Dom, 63, menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm) dalam bilik tidur selepas mangsa keluar dari bilik air. -Sinar Harian