Liga Super: Lapan lelaki diberkas susulan kekecohan di Stadium Perak

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 18, 2024 11:55 MYT
Anggota polis menahan beberapa penyokong Perak setelah berlaku sedikit kekecohan di antara penyokong Perak dan penyokong JDT setelah MFL menangguhkan perlawanan atas faktor cuaca dan padang di Stadium Perak malam tadi. --fotoBERNAMA
IPOH: Polis memberkas lapan lelaki, termasuk remaja 16 tahun ekoran kekecohan yang berlaku ketika perlawanan bola sepak Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Perak, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Perak ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tujuh lelaki tempatan berumur antara 19 dan 32 tahun ditahan kerana membuat kekecohan dan provokasi yang boleh mengancam ketenteraman di tempat awam.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan di atas kesalahan melakukan gaduh gempar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abang Zainal Abidin berkata, polis turut menahan seorang remaja tempatan berumur 16 tahun kerana menghalang tugas pegawai polis dengan membaling botol ke arah anggota polis yang sedang bertugas.
Menurutnya, hasil saringan air kencing didapati suspek juga negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.
Katanya, pihak polis sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada Pendakwa Raya Negeri Perak untuk cadangan pertuduhan ke atas semua suspek.
Justeru pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran orang ramai.
Dalam pada itu, perlawanan Perak FC dan JDT di Stadium Perak malam tadi terpaksa ditunda ke tarikh baharu ekoran faktor cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak mengizinkan.
Perkara tersebut dimaklumkan melalui pengumuman yang dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selain tarikh baharu perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan akan diumumkan kelak.
#kekecohan #Liga Super #Stadium Perak #Abang Zainal Abidin Abang Ahmad