Lif rosak: Peruntukan RM127 juta dah umum, mana kerjanya? - Fahmi Bazlan
Sinar Harian
Julai 17, 2022 06:30 MYT
Julai 17, 2022 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerja penggantian dan membaik pulih lif di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara secara berfasa dalam tempoh setahun hingga dua tahun merisikokan keselamatan penghuni.
Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Fahmi Bazlan bersimpati dengan nasib penghuni PPR dan PA yang masih menagih janji kerajaan untuk membaik pulih infrastruktur PPR dan PA.
“Ada tempat yang lif terhempas dan menyebabkan kecederaan, ada yang lif tersangkut dan mangsa terperangkap.
"Juga ada tempat satu lif sahaja berfungsi menyebabkan penggunaan secara berlebihan dan lebih muatan. Sudahnya turun naik gunakan tangga.
“Sedangkan pada bulan Oktober lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM127 juta bagi menggantikan semua lif lama di PPR dan PA di Kuala Lumpur.
"Di mana kerjanya?” soalnya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, Fahmi mempersoalkan tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menyegerakan kerja-kerja pembaikan berkenaan.
“Kalau kita duduk di situ juga kita akan marah, lif uzur dan tidak diselenggara dengan baik menyebabkan kesukaran pergerakan para penghuni PPR serta bergantung nasib dengan risiko kemalangan nyawa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kerja-kerja penggantian serta menarik taraf 306 unit lif di kawasan PPR dan PA akan dilaksanakan secara berfasa dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
DBKL berkata, kerja-kerja penggantian dan menaik taraf lif dalam lima fasa itu membabitkan kos RM169.6 juta. -Sinar Harian