Lif PPR Kerinchi tidak terhempas, sebaliknya... - JKKP

Fareez Azman
Ogos 3, 2019 13:09 MYT
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Ir Omar Mat Piah menjelaskan pihaknya bagaimanapun masih menyiasat punca sebenar kejadian yang akan diselesaikan dalam masa terdekat. - Foto Astro AWANI/Fareez Azman
Siasatan awal insiden lif pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi, Pantai, di ibu negara yang gagal berfungsi pada Jumaat sehingga menyebabkan beberapa penduduk patah kaki mendapati lif terbabit tidak terhempas.
Sebaliknya, lif berkenaan bergerak lebih dari kelajuan biasa sebelum brek keselamatan berfungsi sehingga menyebabkan impak kepada mangsa di dalamnya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Ir Omar Mat Piah menjelaskan pihaknya bagaimanapun masih menyiasat punca sebenar kejadian yang akan diselesaikan dalam masa terdekat.


“Insiden ini masalah teknikal bukan tali sawat putus dan sebagainya, lif ini turun bukan freefall (jatuh bebas) tetapi ia turun dalam keadaan laju biasa. Lif ini mempunyai banyak alat kawalan jika lif terlalu laju ada kawalan-kawalan akan megurangkan kelajuan.
"Kalau berlaku freefall, ada satu alat keselamatan dikenali sebagai brek keselamatan untuk berhentikan lif tersebut tapi untuk insiden ini tidak sampai keadaan tersebut.
“Siasatan kita teruskan sehingga hari ini dan kita akan cuba dapatkan maklumat, contoh di lif ini, dalam control room (bilik kawalan) ada data, kita akan dapatkan data tersebut dianalisa. Lif ini memang diselenggara dimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah melantik syarikat kompeten untuk penyelengaraan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini. 


Dalam kejadian jam 2.36 petang Jumaat, 6 mangsa patah kaki akibat lif berkenaan dikatakan berhenti secara mengejut dari tingkat 5.


Seramai 9 mangsa dikatakan menaiki lif terbabit ketika kejadian.

 Mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
#Astro Awani #JKKP #Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja #lif terhempas #mangsa #Omar Mat Piah #PPR Kerinchi #terhempas
;