Lif Komtar dihentikan susulan limpahan air
Bernama
Julai 26, 2024 17:55 MYT
Julai 26, 2024 17:55 MYT
GEORGE TOWN: PDC Setia Urus Sdn Bhd (PDCSU) mengesahkan sebanyak 17 lif di bangunan Komtar di sini terpaksa dihentikan operasi berikutan berlaku limpahan air dari bilik tangki di tingkat 27 bangunan itu hari ini.
Ketua Pegawai Operasi PDCSU Loi Kai Horng berkata kejadian itu disedari pengawal keselamatan bertugas yang mengesan limpahan air dari bilik tangki tersebut pada 3.15 pagi tadi.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati limpahan air telah memasuki lif di kawasan berkenaan dan atas faktor keselamatan, pihak pengurusan terpaksa menghentikan operasi lif yang terjejas buat sementara waktu.
"Juruteknik PDCSU telah berjaya menghentikan limpahan air itu dan sekurang-kurangnya 17 lif di Komtar terpaksa dihentikan.
"Secara keseluruhannya terdapat 22 buah lif di Komtar dengan lapan di zon rendah, enam di zon pertengahan dan lapan di zon tinggi.
"Pada masa ini, hanya empat lif di zon rendah dan satu lif di zon pertengahan beroperasi selepas disahkan selamat digunakan pada 9.30 pagi tadi, manakala kesemua lapan lif di zon tinggi masih tidak boleh beroperasi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Loi berkata Pasukan Teknikal PDCSU dan kontraktor lif terus menjalankan pemeriksaan dan ujian keselamatan ke atas lif-lif yang terjejas supaya kesemuanya dapat beroperasi semula secepat mungkin.
Beliau berkata PDCSU juga akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya limpahan air dari bilik tangki di tingkat 27 itu.
Sementara itu, kerja-kerja mengepam untuk mengeluarkan air serta mengeringkan air dalam komponen lif bagi memastikan ia dapat digunakan segera sedang menjalankan.
"Pemeriksaan dan ujian keselamatan pengoperasian ke atas lif-lif itu dijangka selesai sepenuhnya esok," katanya.
-- BERNAMA