Libatkan suara rakyat dalam pengurusan darurat - Dr Jeniri Amir
Firdaus Azil
Januari 17, 2021 12:21 MYT
Januari 17, 2021 12:21 MYT
KUALA LUMPUR: Suara rakyat dan pemegang taruh yang lain harus dilibatkan dalam penubuhan jawatankuasa bebas mengenai darurat, seperti yang dikehendaki Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penganalisis politik Dr Jeniri Amir berkata, pandangan dari pihak yang pelbagai amat perlu bagi memastikan ia dapat mencakupi kesemua aspek berkaitan dalam pengurusan negara ketika tempoh darurat.
"Jawatankuasa Khas Bebas ini harus mewujudkan platform untuk rakyat di peringkat akar umbi, pemegang taruh di beberapa peringkat dan sektor, untuk bersama kemukakan pandangan, cadangan dan saranan untuk diambil kira.
“Bagi melebarkan jaringan idea, cadangan, serta saranan, maka pelbagai saluran perlu diwujudkan untuk memastikan pandangan itu holistik dan menyeluruh, terutama dari pandangan peringkat akar umbi,” katanya.
Pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.
Jelas Jeniri, yang juga merupakan Felo Kanan Majlis Professor Negara, jawatankuasa itu juga berperanan menasihati Seri Paduka Baginda dan akan dianggotai ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, jawatankuasa bebas ini tidak seharusnya dicemari dengan unsur politik.
Ujarnya, sokongan dan penyertaan pembangkang amat perlu kerana mereka juga menggalas tanggungjawab membawa pandangan dan aspirasi rakyat dalam suasana yang serba mencabar ini.
"Amat penting bagi pembangkang untuk ikut serta dalam jawatankuasa ini. Mereka tidak harus memberi pelbagai alasan untuk tidak menyertainya.
“Bagi saya, jawatankuasa ini ini bukan saja perlu disertai pembangkang dan anggota parlimen kerajaan, tetapi juga mereka yang punyai integriti dalam pelbagai bidang.
"Ia termasuk keselamatan dan pertahanan, aktivis sosial, kesihatan. Malah, harus juga diambil kira, peranan yang dimainkan ahli akademik yang mempunyai wibawa tinggi,” tambahnya
#Dr Jeniri Amir
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#Yang di-Pertuan Agong
#politik
#Jawatankuasa Khas Bebas
#darurat
#Parlimen
#pembangkang
#kesihatan
#rakyat
#keselamatan
#menteri
#kerajaan