Libatkan pakar dan kajian dalam sebarang isu sejarah - Maszlee

Wan Syamsul Amly
Julai 30, 2018 18:06 MYT
MASZLEE: Isu yang lebih utama adalah tentang bagaimana ahli-ahli sejarah kita melihat kepada sejarah dulu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Sebarang isu membabitkan sejarah perlu melibatkan pakar selain perbincangan mendalam dalam bidang berkenaan.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pada waktu ini, tiada sebarang cadangan diberi selain paling penting membuat perbincangan dengan bahagian terbabit.
Jelasnya, apa sahaja pandangan hanya akan diberi selepas membuat pertemuan dengan pakar yang berkenaan.
"Isu yang lebih utama adalah tentang bagaimana ahli-ahli sejarah kita melihat kepada sejarah dulu kerana kita di peringkat Kementerian Pendidikan akan pergi kepada masyarakat secara terus tetapi yang memproses pengolahan terhadap sejarah itu sendiri merupakan pakar-pakar sejarah.
"Saya rasa mungkin tidak elok kalau saya melakukan sesuatu keputusan tanpa mendapat pandangan mereka terlebih dahulu," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di sini, hari ini.
Maszlee menjawab isu forum bertajuk 'Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?' yang dianjurkan Imagined Malaysia pada Ahad bagi membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat.
BACA: Bukan promosi komunis tapi rakyat perlu tahu - Tun M
Dalam forum tersebut, beberapa panelis menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah itu.
Kata Maszlee, pihaknya akan mendengar kata pakar sejarah dalam isu perjuangan kemerdekaan yang didakwa melibatkan puak haluan kiri.
"Saya kena mendengar (apa kata) pakar-pakar sejarah kerana mereka ini yang akan menjadi tonggak sebagai pelakaran kepada pelajaran sejarah negara.
"Setiap pihak ada pandangan masing-masing, jadi saya kira mungkin di pihak lain juga boleh membuat program dengan memanggil pakar-pakar sejarah. Jadi ianya perlu bersikap adil," ujarnya.
Dalam forum berkenaan, aktivis PH, Fadiah Nadwa Fikri mendakwa, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut merupakan fakta yang tidak dimasukkan di dalam buku teks sedia ada walaupun para pejuang berkenaan turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.
Dia yang juga seorang peguam dilaporkan berkata, fakta tersebut perlu dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah bagi memberi kefahaman kepada pelajar dan masyarakat mengenai Malaysia sebagai sebuah negara.
Malah pendapat sama turut diberikan oleh seorang lagi panelis, Fahmi Reza yang mendakwa buku teks sedia ada merupakan satu alat propaganda politik kerajaan sebelum ini.
#Fadiah Nadwa Fikri #Kementerian Pendidikan #Maszlee Malik #Menteri Pendidikan #Pakatan Harapan #sejarah
;