Libatkan kementerian berkaitan, mudahkan kemasukan tenaga kerja asing - FMBA
Fareez Azman
Disember 27, 2022 19:44 MYT
Disember 27, 2022 19:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menambah baik urusan kemasukan tenaga pekerja asing ke negara ini dengan melibatkan kementerian yang berkaitan.
Menurut Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah, perlu diwujudkan satu jawatankuasa dalam menyelesaikan kemelut kekurangan tenaga kerja asing secepat mungkin.
"Kita masukkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sekali penting juga, sebab kita nampak sebelum ini ada blame game.
"Bila ada kelewatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kata Kementerian Sumber Manusia (KSM) melewatkan, ada KSM kata KDN melewatkan, jadi kami harap tiada mainan politik dalam game ini.
"Kami berharap agensi MITI harus ada dalam jawatankuasa, KSM, KDN, mungkin Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di mana tujuan dan hasrat mengenal pasti satu proses senang tulus dan cepat dapat menyelamatkan peniagaan yang sedang berdepan masalah," katanya.
Tambah Abdul Malik lagi, kerajaan juga diminta melihat semula beberapa langkah yang diambil ketika ini, untuk memudahkan usahawan mendapatkan pengganti pekerja asing.
"Kita dah bayar levi, contoh levi RM2,000 selepas bekerja tiga bulan, dia perlu balik ke negara asal dia, bila dia balik secara automatik kita diberi secara gantian kerana levi telah dibayar.
"Tetapi kerajaan telah memutuskan bahawa gantian ini dibekukan, jadi bila kerajaan dah tahu syarikat itu memang perlukan (tenaga kerja), dulu dia bagi gantian sekarang dibekukan.
"Adakah kerajaan untuk membantu rakyat? Adakah untuk membantu atau sebenarnya nak menyusahkan pengusaha? Kami tak faham," katanya lagi.
Justeru beliau berharap, beberapa perkara dapat dilihat semula agar tidak menyulitkan keadaan.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila pelaksanaan Akta Pekerja 1955 (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari ini bakal memberi kesan kepada rakyat.
"Kami rasa Akta Pekerja 1955 (Pindaan) 2022 ini akan membebankan banyak syarikat di Malaysia, di mana kos operasi akan naik, dan akan dipindahkan kepada rakyat kemudian inflasi akan berlaku dan ini tidak bagus untuk negara kita, ini saya sangat risau," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.