Liang-Liang, anak panda dilepaskan ke pusat konservasi

Mariah Ahmad
Februari 8, 2016 20:15 MYT
Anak panda di Zoo Negara berkenaan dipamerkan setiap jam bersama ibunya, berbanding hanya satu jam sebelum ini. - fotoBERNAMA/Fail
Panda Liang-Liang dan anaknya dilepaskan ke Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara, selepas lima bulan ditempatkan di unit pemeliharan khas.
Anak panda betina yang masih belum mempunyai nama itu kini seberat kira-kira 11 kilogram.
Ia kini dipamerkan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang bersama ibunya di pusat konservasi berkenaan, berbanding hanya satu jam sebelum ini.
Anak panda berkenaan dilahirkan pada 18 Ogos 2015 dengan berat 175 gram dan ditempatkan di dalam bilik kaca.
Haiwan comel itu kemudiannya mula dipamerkan pertama kali untuk pengunjung Zoo Negara pada 17 November, iaitu selepas tiga bulan anak panda itu dilahirkan.
Kelahiran anak panda pertama ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang menyaksikan ibu panda melahirkan anaknya secara semula jadi dalam kurungan hanya dalam tempoh 15 bulan selepas ia dipinjam dari China.
Anak panda itu akan dihantar pulang ke China selepas dua tahun berada di Malaysia.
Mengikut perjanjian antara Malaysia dan China, ibu dan bapa panda tersebut, Xing Xing akan berada di Malaysia selama 10 tahun.
Pasangan panda gergasi yang dipinjamkan China tiba di negara ini pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.
BACA: Tarikan anak panda: Pengunjung ke Zoo Negara meningkat
#panda gergasi #panda liang-liang #panda Malaysia China #pusat konservasi zoo negara
;