LIAM gesa rakyat Malaysia dapatkan perlindungan insurans

Bernama
April 22, 2024 05:45 MYT
LIAM menggesa rakyat Malaysia untuk mendapatkan perlindungan insurans hayat berikutan trend pembayaran tuntutan yang meningkat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menggesa rakyat Malaysia untuk mendapatkan perlindungan insurans hayat berikutan trend pembayaran tuntutan yang meningkat sejak dua tahun lepas.
Jumlah pembayaran melonjak 14.9 peratus kepada RM15.4 bilion pada tahun lepas berbanding RM13.4 bilion pada 2022, didorong terutamanya oleh kenaikan sebanyak 41.4 peratus untuk pembayaran hilang upaya dan kenaikan 26.2 peratus untuk tuntutan perubatan.
Presiden LIAM Raymond Lew berkata lonjakan dalam pembayaran tuntutan juga disebabkan oleh kadar inflasi perubatan Malaysia yang tinggi, menekankan kepada keperluan segera untuk memastikan perlindungan insurans yang mencukupi untuk semua rakyat Malaysia.
"Jika tidak mendapat insurans sekarang, apakah yang akan berlaku kepada keluarga apabila satu-satunya pencari rezeki mereka menghidap penyakit atau meninggal dunia?" katanya selepas majlis Sambutan Raya LIAM dengan Children's Homes dan pihak berkepentingan pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mark O'Dell berkata premium insurans dijangka terus meningkat berikutan tuntutan perubatan yang tinggi dijangka menambah tekanan kepada premium.
Mengenai insurans untuk warga emas, beliau berkata individu berusia 70-an dan 80-an berdepan dengan pilihan yang terhad untuk perlindungan perubatan berdasarkan kadar insiden yang meningkat.
"Premium semakin meningkat dan jika ia terus meningkat, warga emas tidak akan mampu untuk membeli insurans, inilah masalah yang kami hadapi.
"Selain itu, jika anda tidak mendapatkan perlindungan insurans sebelum berumur 65 atau 70 tahun, anda tidak akan mendapat perlindungan insurans selepas itu berikutan tiada syarikat yang mahu menjual polisi baharu kepada seseorang yang berumur lebih 70 tahun," katanya.
-- BERNAMA
#rakyat Malaysia #Liam #insurans hayat #trend pembayaran tuntutan
;