LHDNM akan tingkatkan kesedaran capai sasaran kutipan cukai RM134.7 bilion

Bernama
Februari 5, 2018 18:12 MYT
SABIN: Fokus strategi pematuhan juga menyasarkan syarikat-syarikat yang terlibat dengan perancangan cukai secara agresif.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pembayar cukai di samping meneruskan aktiviti pematuhan bagi mencapai sasaran kutipan RM134.7 bilion pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata pada 2017, kutipan cukai yang dicatatkan meningkat sebanyak 8.15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Peningkatan positif ini jelas menggambarkan yang secara keseluruhan strategi tahun 2017, telah dirancang dan dilaksanakan secara baik sehingga memberi impak dan kesan yang diinginkan, " katanya kepada pemberita sempena majlis minuman petang bersama media, disini, hari ini.
Menurut Sabin, selain strategi direncanakan oleh LHDNM, pendorong utama kepada peningkatan positif ini adalah pertumbuhan ekonomi Malaysia yang sangat memberangsangkan pada tahun lepas.
Cukai pendapatan merupakan komponen terbesar hasil negara, dengan sumbangan sekitar 50-55 peratus setiap tahun, yang akan menjadi dana untuk membiayai dasar pembangunan negara dan kelangsungan kesejahteraan rakyat.
Justeru, katanya, LHDNM akan terus berusaha untuk memastikan tidak berlaku pengelakan cukai yang akan dapat membantu meningkatkan kadar pematuhan cukai.
Menurutnya, tahun ini LHDNM menyasarkan landskap pematuhan cukai ke atas syarikat industri khas seperti perbankan, insurans dan kewangan.
"Ketirisan cukai daripada aktiviti pindahan harga dan underground economy (ekonomi pasar gelap) oleh segelintir syarikat multinasional akan terus menjadi keutamaan kepada pemantapan strategi pematuhan cukai yang bakal dilaksanakan.
"Fokus strategi pematuhan juga menyasarkan syarikat-syarikat yang terlibat dengan perancangan cukai secara agresif," katanya.
Beliau berkata antara kaedah yang dikesan digunakan oleh pembayar cukai agresif antaranya penggabungan dan pengambilalihan syarikat dan manipulasi Akta Syarikat Perniagaan Labuan 1990.
Sabin berkata sehingga kini, LHDNM telah mengesan hampir 50 syarikat tempatan dan multinasional yang beroperasi di Labuan melibatkan amaun cukai yang mencurigakan.
Menurutnya, ada di antara mereka yang memindahkan dana dan keuntungan kepada akaun luar pesisir Labuan yang sebenarnya tidak beroperasi, bertujuan untuk menikmati cukai yang rendah.
-- BERNAMA
#cukai #ekonomi #LHDN #Malaysia #Media #rakyat
;