LHDN maklum pendedahan Global Witness

Haider Yutim
Mac 21, 2013 14:42 MYT
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengambil maklum dakwaan berhubung urusniaga belakang tabir yang melibatkan keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud seperti yang didedahkan oleh NGO antarabangsa, Global Witness.
Jurucakap agensi tersebut ketika dihubungi Astro Awani bagaimanapun berkata, pihak mereka tidak dapat memberikan sebarang komen buat masa ini.
“LHDN ambil maklum perkara tersebut,” kata jurucakap itu yang mengatakan perkara itu sudah pun berada di bawah perhatian LHDN.
Selain itu pihaknya juga dipercayai bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya benar laporan yang didakwa beserta bukti-bukti yang kukuh.
Dakwaan video yang menjadi topik hangat sejak kelmarin antaranya mendedahkan bagaimana pembeli tanah mengelakkan diri dari membayar cukai perolehan hartanah (RPGT).
Global Witness ialah kumpulan aktivis yang berpangkalan di London menggerakkan kempen anti penyelewengan termasuk menyiasat kegiatan penyelewengan di serata dunia khususnya yang melihatkan penjarahan alam sekitar dan sumber asli.
Rakaman sulit tersebut memaparkan perbualan seorang lelaki Eropah yang menyamar sebagai pelabur dengan sepupu Taib, Norlia dan Fatimah Abdul Rahman serta dua orang peguam.
Norlia dan Fatimah ialah anak kepada bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Rahman Yaakob yang juga bapa saudara kepada Taib.
Taib dan Abdul Rahman mempunyai sejarah hubungan yang renggang ekoran krisis politik negeri pada akhir 1980-an yang dikenali sebagai Peristiwa Ming Court.
Taib bagaimanapun menolak dakwaan tersebut sambil menyifatkan rakaman itu sebagai "nakal" dan bertujuan memburuk-burukkan namanya.
Beliau juga menegaskan kerana hubungan renggang antara beliau dengan Abdul Rahman pada suatu masa dulu, sepupunya itu tentulah bukan ‘orang kepercayaan’nya.
Taib juga menegaskan semasa menjaga portfolio perhutanan pada tahun 1980-an, beliau pernah mengumumkan bahawa tiada urusan boleh dijalankan melalui orang tengah dan semua urusan harus ikut prosedur kerajaan.
Seorang pemimpin kanan politik Sarawak, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga menyifatkan pendedahan Global Witness itu bertujuan mengaibkan Taib dan selebihnya, ia cubaan campur tangan pihak asing ke dalam urusan dalaman negara ini.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan siasatan ke atas Taib masih dijalankan dan akan diambil tindakan yang sewajarnya dengan adanya buti-bukti baru ini.
#global witness #LHDN #Tan Sri Abdul Taib Mahmud
;