LHDN komited beri pendidikan cukai kepada majikan

Bernama
September 26, 2018 21:47 MYT
LHDN melalui program Tunjuk Ajarku Sifu "Saya Majikan Bijak" terus komited memberikan pendidikan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui program Tunjuk Ajarku Sifu "Saya Majikan Bijak" terus komited memberikan pendidikan cukai kepada majikan serta orang awam dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian.
Program yang memberi fokus kepada pematuhan undang-undang cukai dalam kalangan majikan kerajaan dan swasta itu melibatkan lebih 500 orang peserta dari sekitar Lembah Klang, berlangsung di Dewan Bangsawan, Menara Hasil, Cyberjaya, semalam.
Melalui program yang menggunakan kaedah 'mentor-mentee' itu, peserta berpeluang untuk mengemaskini pengetahuan mereka dan mendapat tunjuk ajar dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi semasa menguruskan hal-hal berkaitan dengan percukaian pekerja.
Program yang menyediakan ruang interaksi antara pegawai pakar LHDN dan peserta dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi.
Mohd Nizom berkata melalui program tersebut peserta dapat berjumpa secara terus dengan 'Sifu' (pegawai pakar LHDN) yang mempunyai pengalaman luas dalam isu-isu berkaitan dengan majikan.
"Disamping itu, ia turut menjadi medan bagi LHDN mendengar sendiri isu-isu yang dibangkitkan oleh majikan berkaitan perihal percukaian pekerja.
"Pendekatan melibatkan pembayar cukai sebegini akan diteruskan lagi pada masa hadapan dalam usaha LHDN meningkat pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
#cukai #Lembaga Hasil Dalam Negeri #LHDN #majikan #mentor-mentee #pendidikan cukai #Saya Majikan Bijak #Tunjuk Ajarku Sifu
;