LHDN henti kutip bayaran balik PTPTN mulai 1 Nov
Bernama
Oktober 31, 2015 08:17 MYT
Oktober 31, 2015 08:17 MYT
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan berhenti mengutip bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui kaedah potongan gaji mulai 1 Nov ini.
Kenyataan LHDN hari ini menyebut semua majikan yang membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman hendaklah mengemukakan bayaran tersebut terus kepada PTPTN.
"Kerajaan telah memutuskan bahawa mulai 1 Nov 2015, LHDN tidak lagi bertindak sebagai ejen kutipan bayaran balik pinjaman PTPTN," menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai bayaran balik pinjaman PTPTN melalui kaedah potongan gaji boleh berhubung terus dengan PTPTN di talian 03-20986484 /7336 /6462.
Ketika ini jumlah keseluruhan peminjam PTPTN adalah 2.37 juta orang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM53.7 bilion manakala 607,842 pula merupakan peminjam tegar dengan jumlah pinjaman sebanyak RM4.9 bilion.