LHDN cadang senaraikan pengelak cukai tegar dalam CCRIS

Tan Su Lin
Disember 15, 2016 11:29 MYT
Kesan akibat tersenarai dalam CCRIS akan mempengaruhi penilaian oleh pihak bank berhubung pinjaman. - Gambar fail
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bercadang menyenaraikan individu yang gagal mematuhi pembayaran cukai dalam sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS) mulai tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata langkah itu bagi meningkatkan kadar pematuhan cukai semasa dan membendung aktiviti pelarian cukai.
Ujar beliau, tindakan tegas itu akan diambil LHDNM khususnya ke atas golongan pengelak cukai tegar.
"Mereka ini sebenarnya telah diberi peluang untuk membayar cukai tertunggak secara ansuran walaupun setelah pelbagai kali peringatan diberikan, mereka masih gagal buat seperti yang telah dipersetujui antara mereka dan LHDNM.
"Jadi pada tahun hadapan, LHDN bercadang untuk menyenaraikan pembayar cukai tegar ini kepada CCRIS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran operasi khas bersepadu "Task Force 2 Bilion" (TF2B 2017) di ibu pejabat LHDNM, di sini, hari ini.
Ditanya pemberita sama ada langkah itu dilihat sebagai 'keterlaluan', ujarnya, LHDN terpaksa menggunakan pendekatan itu ekoran pembayar cukai telah diberi banyak peluang untuk melangsaikan cukai yang tertunggak.
"Ini tidak bermakna LHDNM menyusahkan mereka sebab sebelum kita senaraikan mereka ini, kita telah memberi mereka peluang untuk membayar secara ansuran."
"Tindakan ini adalah perlu untuk memberi keadilan kepada pembayar cukai yang lain yang patuh kepada peraturan bayaran yang telah kita berikan kepada semua pihak yang memerlukan pembayaran secara ansuran, sekiranya mereka mempunyai masalah kewangan," katanya.
Akibat daripada tersenarai dalam CCRIS, ia akan mempengaruhi penilaian oleh pihak bank berhubung pinjaman.
Ini bermakna mereka yang tersenarai akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank dan kad kredit.
Buat masa ini, mana-mana pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka walaupun notis peringatan diberikan, akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara di bawah peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
#CCRIS #cukai #Lembaga Hasil Dalam Negeri #LHDN
;