LGBT: Tak perlu paksa Malaysia terima ideologi songsang - Tun Mahathir

Firdaus Azil
Jun 17, 2019 00:24 MYT
Dr Mahathir menyampaikan ucapan sempena lawatan kerja di The Cambridge Union Society pada Ahad, 16 Jun, 2019. Turut hadir, Speaker Jawatankuasa Kesatuan Pelajar Cambridge, Adam Davies. --fotoBERNAMA
Malaysia bertegas tidak akan mengalah kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang di kalangan rakyat negara ini, terutamanya yang melibatkan unsur Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, Malaysia seharusnya berpegang teguh kepada nilai-nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan di kalangan masyarakat tempatan.
Menurutnya, masyarakat Barat terbukti tidak patuh kepada nilai hidup lama mereka, dan sanggup mengubah apa yang haram pada satu masa dulu, semata-mata untuk memenuhi gaya hidup mereka pada masa kini.
“Jangan 'terturut' dengan Barat. Ada benda di Barat seperti institusi perkahwinan sudah tak dipedulikan. Demikian juga kekeluargaan, tidak diterima lagi.
"Mereka boleh bebas dengan tanpa perlu berkahwin, terus hidup bersama dan sebagainya. Itu cara mereka, dan kita tak harus terima,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media sempena mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke London, pada Isnin.
BACA: "Ini amaran juga kepada Malaysia, Indonesia" - Angkuhnya George Clooney ulas isu LGBT!
BACA: 'Kahwin sesama jenis... bolehkah dapat anak?' - Tun Mahathir
Pada Ahad, sewaktu menjawab persoalan mengenai dasar Malaysia berkenaan LGBT di Cambridge Union, Cambridge, Dr Mahathir berkata amalan itu tidak boleh diterima negara.
“Saya tak faham perkahwinan gay. Perkahwinan adalah untuk melahirkan zuriat. Adakah anda boleh mendapat anak melalui perkahwinan gay?
"Apa yang mereka lakukan, mereka hanya mengambil anak angkat dan sebagainya. Bagi kita, itu adalah cara pemikiran yang mundur.
"Semata-mata anda berfikir manusia bebas melakukan apa jua mereka mahukan. Lelaki berkahwin sesama lelaki, perempuan berkahwin sesama peremuan.
"Semua ini kononnya okay, memandangkan itu hak mereka. Tetapi hak ada batasannya, dan tiada hak mutlak dalam melakukan semua perkara,” katanya ketika di Cambridge Union, pada Ahad.
#agama #amalan songsang #barat #gay #haram #LGBT #Mahathir Mohamad #nilai hidup #nilai moral #perkahwinan #tekanan
;