Lexus Malaysia perkenalkan model RX generasi terkini
Astro Publication
November 12, 2015 14:42 MYT
November 12, 2015 14:42 MYT
Lexus RX generasi keempat terbaharu sudah dilancarkan dengan rasmi sebentar tadi. Sekarang, model SUV mewah ini bukan sahaja datang dengan rekaan luaran yang dikemaskini, tetapi juga dengan enjin turbo yang sebelum ini hanya ada pada model NX.
Dari segi rekaan, RX baharu tampil dengan DNA penggayaan yang lebih seiring dengan barisan model-model terkini Lexus, termasuk kesan ‘floating roof’ serta ‘Spindle Grille’ yang begitu menonjol.
Lexus RX serba baru ini juga lebih luas berbanding sebelumnya, dengan pertambahan 50mm jarak antara roda, menyumbang kepada pertambahan keluasan kabin secara keseluruhannya. Dengan ruang berkenaan direka untuk memuatkan lima penumpang, lantai bahagian belakang Lexus RX yang direndahkan membantu memberikan keselesaan tempat duduk yang mampu menandingi model tertinggi sedan mewah keluarannya, Lexus LS.
Ketika pelancaran, Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Datuk Ismet Suki menyatakan; “Lexus RX serba baru ini tidak hanya datang sekadar dengan reka bentuk yang menawan. Ia juga dipadankan dengan enjin petrol dan hibrid yang diperkemas, teknologi keselamatan canggih, bantuan pemanduan serta ciri termaju lainnya yang menjadikan Lexus RX sebagai model SUV Lexus paling laris setakat ini.”
Enam varian yang dijual Lexus Malaysia adalah RX200t Premium, RX200t Luxury, RX200t F SPORT, RX350 Luxury, RX350 F SPORT dan RX450h, barisan kenderaan ini turut didatangkan dengan tiga warna baru; Graphite Black GF, Amber CS (Crystal Shine) dan Deep Blue MC (Mica).
Dibangunkan bagi menawarkan fungsi berkualiti tinggi, RX200t dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter turbocaj suntikan terus 4-silinder sebaris, dan transmisi automatik 6-kalajuan.
Sementara itu, RX350 pula dilengkapi dengan enjin petrol 3.5 liter V6 suntikan terus dengan transmisi automatik 8-kelajuan. RX450h yang dipertingkat kini dikuasakan oleh enjin petrol 3.5 liter V6 dengan sistem penjana hibrid yang diperkemas.
“Dengan keselamatan pelanggan menjadi keutamaan, Lexus RX serba baru ini didatangkan dengan Panoramic View Monitor (PVM), 10 beg udara SRS dan Blind Spot Monitor (BSM) serta Rear Cross Traffic Alert (RCTA),” tambah Datuk Ismet.
Lexus Malaysia menawarkan harga atas jalan tanpa insurans bagi RX terbaru ini untuk pendaftaran persendirian bermula dari RM388,800 bagi RX200t Premium, hingga RM520,200 untuk RX450h.