Lewat buka pintu kunci air didakwa punca banjir lambat surut
Sinar Harian
Ogos 21, 2022 07:15 MYT
Ogos 21, 2022 07:15 MYT
SHAH ALAM: Pihak berkuasa yang didakwa lambat membuka pintu kunci air berdekatan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menjadi salah satu punca banjir kilat lambat surut di kawasan tersebut pada Sabtu.
Salah seorang penduduk di Jalan Nyaman, di sini, Mohd Aswadi Sulaiman, 44, berkata, masalah longkang cetek yang tidak diselenggara pihak berwajib turut memburukkan keadaan.
Dia yang tinggal di sini sejak tahun 1997 memaklumkan, isu tersebut menyebabkan air dari longkang melimpah keluar dan masuk ke dalam rumahnya selepas sejam hujan turun.
Mohd Aswadi turut mendakwa rumahnya dilanda banjir banyak 15 kali setahun.
"Dalam 45 minit hujan, air dari longkang akan melimpah keluar dan masuk ke dalam rumah.
"Sepatutnya kalau dah tahu hujan lebat selepas sejam, sudah ada pegawai bersedia di pintu kunci air di situ.
"Selepas kunci air dibuka, banjir ambil masa dua jam untuk surut," katanya pada Ahad.
Sementara itu, eksekutif perakaunan, Khairul Azmi Safie, 33, yang tinggal di kawasan sama sejak tahun 2018 turut meluahkan kekecewaan terhadap pihak berkuasa apabila agensi tersebut didakwa tidak mengendahkan aduan yang dibuat mengenai longkang cetek di kawasan perumahannya.
"Sebelum banjir besar pada tahun lalu, kita memang ada masalah longkang kerana tidak diselenggara sejak 30 tahun lalu.
"Saya harap pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dapat menyelenggara longkang di sini, kerajaan Selangor memang ada buat ban tapi bila hujan di sini, air akan masuk ke dalam longkang dan ke loji.
"Bila loji penuh, ia akan mengalir ke tempat takungan air. Kalau yang itu pun penuh, air tersebut akan kembali ke rumah," katanya.
Dalam pada itu, Yas Nuh, 60, kini hidup dalam ketakutan setiap kali hujan kerana trauma dengan insiden banjir yang melanda pada Disember tahun lalu.
Katanya, sehingga kini, keretanya yang rosak akibat bencana tesebut masih belum siap dibaiki di sebuah bengkel di Setapak, Kuala Lumpur.
"Celah-celah rumah pun dah banyak bocor, jadi lebih mudah air masuk ke dalam rumah. Kalau hujan lagi sejam, memang habis.
"Sekarang kalau dengar hujan, saya sudah takut jadi seperti tahun lalu kerana barangan saya termasuk dokumen musnah," katanya yang bekerja sebagai buruh kontrak.
Pada Sabtu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kejadian banjir di beberapa kawasan sekitar Taman Sri Muda.
Antaranya, melibatkan Jalan Harapan, Jalan Waja, Jalan Makmur dan Jalan Mahir, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini. -Sinar Harian