Lewat bayar upah, pengasuh dera bayi 14 bulan hingga sawan dan kritikal
Rohana Wahed
Oktober 28, 2018 18:15 MYT
Oktober 28, 2018 18:15 MYT
Gara-gara lewat dibayar upah, seorang pengasuh tergamak mendera seorang bayi berusia 14 bulan hingga tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 25 Oktober lalu.
Bayi malang terbabit kemudiannya didapati berada dalam keadaan kritikal kerana dipercayai tidak diberi makan dan minum hampir tiga minggu.
Akibatnya, bayi perempuan itu turut diserang penyakit sawan dan jangkitan kuman pada paru-parunya.
Pemeriksaan perubatan turut mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian kepala kanak-kanak berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, bertindak atas laporan pihak hospital, polis telah menahan seorang wanita berusia 23 tahun pada 27 Oktober lalu di Batu Kawa bagi membantu siasatan.
"Hasil soal siasat, suspek mengaku ada memukul kanak-kanak berkenaan menggunakan botol susu di kepala sebanyak dua kali dan tangan supaya kanak-kanak itu berhenti menangis," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut Aidil, suspek nekad bertindak demikian kerana marah kepada ibu bayi perempuan itu yang lewat membayar upah.
Difahamkan kanak-kanak itu dijaga oleh pengasuh tersebut selama tiga minggu dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam.
Kali terakhir pengadu berjumpa dengan anaknya adalah pada 23 Oktober lalu kerana terpaksa bekerja.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
#Aidil Bolhassan
#Batu Kawa
#bayi perempuan
#dera
#Ketua Polis Daerah Padawan
#Kuching
#marah
#pengasuh
#upah