Lewat bayar elaun, bukan kerana tiada duit - Dr Sim Kui Hian

Astro Awani
Ogos 28, 2020 14:54 MYT
Perincian perlu dilakukan bagi memastikan penyaluran elaun COVID-19 barisan hadapan dapat dilakukan dengan telus . FOTO: BERNAMA
Kelewatan pembayaran elaun khas COVID-19 buat petugas barisan hadapan di Sarawak bukan disebabkan kerajaan negeri Sarawak kehabisan duit.
Namun ia berpunca senarai nama baharu daripada JKNS belum diserahkan kepada kerajaan negeri.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang mengesahkan perkara berkenaan turut memaklumkan kelewatan itu bermula sejak Mei lalu.
“Apa yang terjadi adalah senarai nama untuk petugas barisan hadapan ini belum diserahkan oleh pihak JKNS dan sekiranya perkara ini selesai, pembayaran akan dibuat oleh kerajaan Sarawak menerusi senarai nama tersebut.
“Sekiranya kita membayar mengikut senarai nama yang terdahulu, ada di antara mereka yang layak, tetapi tidak dapat elaun tersebut,” kata Dr Sim.
Justeru, perincian perlu dilakukan bagi memastikan penyaluran elaun COVID-19 barisan hadapan dapat dilakukan dengan telus untuk petugas yang layak daripada senarai tersebut.
Dr Sim berkata demikian selepas menyerahkan peralatan operasi dan kenderaan di Ibu Pejabat Bomba Sarawak di Petra Jaya pada Khamis.
#AWANI Sarawak #bayaran elaun khas #COVID-19 #Datuk Seri Dr Sim Kui Hian #frontliner #JKNS #Kuching #Petra Jaya #Sarawak
;