Letusan gunung berapi New Zealand: Seorang rakyat Malaysia maut
Astro Awani
Disember 9, 2019 07:43 MYT
Disember 9, 2019 07:43 MYT
Pelancong yang berada di atas bot menyaksikan kepulan asap susulan kejadian letusan gunung berapi Whakaari, juga dikenali sebagai White Island, di New Zealand, 9 Dis 2019. Foto dari video media sosial. REUTERS
Sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia maut dalam insiden letusan gunung berapi di White Island yang berlaku pada Isnin.
Ia disahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand setelah dihubungi pihak berkuasa negara itu pada pagi Selasa waktu tempatan.
Bagaimanapun, butiran mangsa masih belum diketahui kerana siasatan masih dijalankan.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand meminta orang ramai untuk menghubungi mereka jika menerima maklumat tentang mana-mana rakyat Malaysia yang berada di kawasan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden mengesahkan pelancong dari Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Malaysia merupakan antara mangsa yang hilang dan cedera berikutan ledakan gunung berapi tersebut.
Semasa kejadian, seramai 47 orang pelancong dilaporkan ke pulau tersebut.
Daripada jumlah itu, lima terbunuh, lapan masih hilang, 31 orang masih dirawat di hospital dan tiga lagi dibenarkan keluar.
Gunung berapi White Island yang popular dalam kalangan pelancong meletus secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran, sekali gus menimbulkan ketakutan kepada ramai pengunjung.
#gunung berapi
#Jacinda Arden
#ledakan
#letusan
#mangsa
#maut
#New Zealand
#pelancong
#Pesuruhjaya Tinggi Malaysia
#rakyat Malaysia
#siasatan
#Suruhanjaya Tinggi Malaysia