Letupan, percikan bunga api kebakaran kilang mungkin berpunca daripada bateri - Bomba
Bernama
Disember 4, 2023 20:11 MYT
Disember 4, 2023 20:11 MYT
SUNGAI PETANI: Bunyi letupan kuat dan berterusan dalam kejadian kebakaran sebuah kilang di Bukit Selambau dekat sini malam tadi, dipercayai berpunca daripada bateri yang disimpan di dalam premis terbabit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata tinjauan pihaknya di lokasi kejadian mendapati terdapat banyak kelongsong bateri ditemukan bertaburan di kawasan itu.
"Bateri-bateri kecil bersaiz A, 3A ... kita tidak menolak kemungkinan percikan dan letupan yang berlaku disebabkan bateri-bateri ini terbakar, itu kemungkinan, sebab ada lagi peralatan lain yang mungkin terdapat di dalam kilang, tapi setakat ini kita tidak boleh nak masuk.
"Keadaan asap di kawasan ini masih tebal dan kita mengutamakan keselamatan pegawai, jadi dalam kebakaran malam tadi, kita sudah berjaya mengawalnya daripada merebak ke sektor lain yang berdekatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Awang Hidzel berkata setakat ini, pihaknya belum dapat mengenal pasti tahap bahaya asap yang terhasil disebabkan kebakaran itu dan anggota bomba yang terlibat di lokasi kejadian perlu memakai peralatan perlindungan diri sepenuhnya semasa menjalankan tugas.
Beliau juga memberitahu setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan oleh mana-mana individu akibat daripada percikan bunga api yang terhasil daripada kebakaran berkenaan.
Dalam pada itu, beliau meminta pemilik premis bangunan atau kilang untuk lebih bertanggungjawab dan memberi kerjasama kepada agensi penyelamat sekiranya berlaku kebakaran membabitkan premis mereka.
Beliau berkata kegagalan pemilik premis memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat tepat berhubung bahan-bahan atau peralatan yang ada di dalam premis mereka akan memberi kesan terhadap operasi penyelamatan dan memadam kebakaran.
"Bila mereka beri kerjasama, mudah untuk kita mengenal pasti bahan yang ada di dalam kilang dan tentukan kaedah yang sesuai untuk mengawal dan memadam kebakaran.
"Pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi penyelamatan juga berdepan risiko lebih besar sekiranya terdapat bahan berbahaya di dalam premis yang terlibat dalam kebakaran berbanding operasi penyelamatan membabitkan kebakaran premis yang kosong," katanya.
Terdahulu, media melaporkan tiga gudang yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau dekat sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan "bunga api", sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
-- BERNAMA