Letupan mercun di Hari Thaipusam, dua sahabat dipenjara, denda

Bernama
Februari 7, 2018 17:30 MYT
Dua sahabat dihukum penjara empat hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini setelah mengaku bersalah atas empat pertuduhan berasingan menyebabkan kecederaan ketika perarakan Hari Thaipusam awal bulan ini. --fotoBERNAMA
Dua sahabat dihukum penjara empat hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas empat pertuduhan berasingan menyebabkan kecederaan ketika perarakan Hari Thaipusam awal bulan ini.
Majistret Mohamad Fared Abd Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap V Indran dan S Pubalan, kedua-duanya berusia 25 tahun, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Majistret menjatuhkan hukuman penjara empat hari dan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 1 Feb lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa telah bersama-sama menyebabkan kecederaan kepada N Murugan, 58, D Ranjeet, 37, R Savinthra, 11, dan S Vasatha, 55 (satu mangsa bersamaan satu pertuduhan) dengan cara membakar mercun secara gopoh atau cuai yang membahayakan nyawa manusia dan keselamatan orang lain.
Keempat-empat pertuduhan itu yang tertakluk di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan, didakwa dilakukan di hadapan restoran Vetrivel, Pekan Lama, Jalan Kuala Ketil pada 8.29 malam, 1 Feb lalu.
Terdahulu peguam kedua-dua tertuduh, R Babunaidu memohon agar hukuman minimum dikenakan ke atas kedua-dua anak guamnya yang masing-masing bekerja sebagai pengendali jentera berat dan pekerja restoran, memandangkan mereka tidak mempunyai niat untuk mencederakan sesiapa sewaktu kejadian.
"Niat mereka hanya untuk bermain mercun namun ia rosak sehingga meletup. Bagaimanapun mereka tidak berupaya untuk mengawal keadaan dan turut mengalami kecederaan," katanya.
Beliau menjelaskan permainan mercun atau bunga api menjadi satu kebiasaan dalam upacara keagamaan mahu pun acara rasmi kerajaan, dan tindakan mereka bermain mercun hanyalah demi meraikan perarakan kereta berhala pada ketika itu.
"Ramai yang menyaksikan pertunjukan itu dan ia (mercun) mempunyai 130 das tembakan, namun setelah 20 das tembakan, mercun itu meletup dan menyebabkan kecederaan kepada hadirin," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Geetha Jora Singh bagaimanapun mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh, mengambil kira kepentingan awam kerana perbuatan tersebut bukan sahaja membahayakan nyawa tapi juga mengakibatkan kecederaan kepada pengunjung.
"Kedua-dua tertuduh bukannya budak kecil yang tidak faham akan kesan dan tindakan perbuatan mereka terhadap orang ramai.
"Tidak dinafikan bahawa terdapat perarakan chariot (kereta berhala) pada tarikh tersebut memandangkan ia adalah sehari selepas Hari Thaipusam, tapi itu tidak bermakna kedua-dua tertuduh boleh membakar mercun sebab ramai yang berada di tempat kejadian," katanya.
-- BERNAMA
#bunga api #kecederaan #letupan #mahkamah #Mahkamah Majistret #mercun #niat #perarakan #Sungai Petani #Thaipusam
;