Letupan lombong, seorang lagi mangsa meninggal dunia
Bernama
November 26, 2014 08:45 MYT
November 26, 2014 08:45 MYT
Seorang lagi mangsa letupan lombong arang batu di Selantik, Pantu dekat Sri Aman, Sabtu lalu, meninggal dunia 6.30 petang.
Kematian Ahmad Zidin yang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia itu menjadikan jumlah mangsa yang terkorban kepada empat orang.
Pengarah Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata Ahmad yang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak (HUS) disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian otak.
Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah mayat HUS kira-kira 8.30 malam untuk bedah siasat.
Dalam kejadian Sabtu lalu itu, tiga pekerja maut dan 30 lagi cedera.
Mereka yang terbunuh ialah rakyat Korea Utara Pang Chung Hyok, 29; rakyat Myanmar Tun Tun Win, 36; dan rakyat Indonesia, Kardianto, 38.
Sementara itu, adik ipar Allahyarham, Rohadi ketika ditemui di rumah mayat HUS berkata mangsa telah bekerja di lombong arang batu itu sejak setahun lalu.
Allahyarham meninggalkan isteri dan seorang anak perempuan berusia 9 tahun.