Letupan kuat rosakkan harta benda sebuah keluarga

Bernama
Februari 14, 2013 18:12 MYT
Satu letupan kuat dilaporkan telah merosakkan harta benda sebuah keluarga di Taman Seri Sejahtera di sini awal pagi tadi.
Letupan yang dipercayai berpunca daripada mercun itu telah merosakkan cermin pintu, tingkap, siling, mesin basuh serta kereta Toyota Avanza milik pemandu lori Lau Choong Kuang, 51.
Beliau menganggarkan kerugian melebihi RM6,000.
Kejadian berlaku kira-kira 4.20 pagi, ketika beliau baru sahaja pulang ke rumah sementara sementara isteri dan empat orang anaknya sedang tidur.
"Ketika itu saya sedang berehat di bahagian belakang rumah sebelum terdengar bunyi sebuah motosikal yang melalui depan rumah saya yang disertai bunyi letupan kuat.
"Bunyi kuat itu macam bom dan saya terus ke hadapan rumah untuk melihat apa yang berlaku dan saya terkejut tengok kepulan asap memenuhi kawasan rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Lau berkata beliau tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu dan percaya orang yang melakukanya mungkin tersalah sasaran kerana beliau tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
Beliau bersyukur kerana dua anaknya Lau Peng Hui, 17, dan Lau Jia Leng, 16, yang tidur di bilik hadapan tidak mengalami kecederaan dan sempat menyelamatkan diri selepas cermin tingkap pecah.
"Nasib baik cermin yang pecah di bilik hadapan tidak kena dua anak saya. Mereka juga terus bangun selepas terdengar bunyi letupan itu," katanya yang telah membuat laporan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.
"Kita akan melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian," katanya.
#Bukit Mertajam #khianat #letupan #mercun #pulau pinang #Taman Seri Sejahtera
;