Letupan kuat dan bergegar, sebelum Pasar Besar Seremban terbakar
Bernama
September 9, 2017 23:15 MYT
September 9, 2017 23:15 MYT
Bunyi letupan yang kuat dan gegaran dirasai pekerja Pasar Besar Seremban, di sini sebelum api yang marak menjilat bahagian atas pasar berkenaan dalam kebakaran kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Salah seorang pekerja pasar berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chua Bo Ching, 49, berkata sebelum kejadian dia berada di tingkat bawah menjalankan kerjanya seperti biasa iaitu menimbang stok sayur daripada lori dan secara tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan terasa ada gegaran di tempat dia berdiri.
"Kebakaran berlaku selepas bunyi letupan itu dan peniaga di sebelah kedai saya mengetuk zink memanggil saya dan beritahu bahawa pasar sudah terbakar.
"Kemudian saya pandang ke atas dan melihat tingkat atas pasar sudah terbakar, saya dan rakan-rakan lain berlari menyelamatkan diri... beberapa minit kemudian pihak bomba sampai," katanya kepada Bernama di sini, malam ini.
Lee Kian Mun, 44, yang merupakan peniaga di tingkat bawah berkata kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian medan selera tingkat atas bangunan pasar berkenaan dan api telah merebak sangat cepat sehingga satu tingkat dijilat api.
"Saya tidak sangka api merebak sangat cepat kerana kawasan pengudaraannya terbuka dan lebih saya kesian apabila kedai kawan-kawan saya yang menjual baju, seluar, beg dan beberapa peralatan lain juga telah musnah terbakar," katanya.
Pasar Besar Seremban mempunyai dua tingkat yang mana tingkat bawah menjual barang basah manakala tingkas atas antaranya terdapat medan selera, kedai menjual pakaian dan buah-buahan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban, dalam satu kenyataan berkata sehingga pukul 9.40 malam, bomba masih menjalankan kerja-kerja memadamkan kebakaran dan jumlah mangsa juga belum diketahui.
"Kebakaran melibatkan bahagian atas pasar berkeluasan 200 kaki x 600 kaki (60.96m x 182.88m) dan sehingga pukul 8.20 (malam), kebakaran telah memusnahkan 80 peratus daripada bahagian atas pasar itu," katanya.
--BERNAMA