Letupan kilang kimia: JAS siasat elemen cuai
Sinar Harian
Januari 21, 2025 13:00 MYT
Januari 21, 2025 13:00 MYT
KLANG: Elemen kecuaian dan pelanggaran syarat lesen antara yang akan disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan insiden letupan sebuah kilang kimia di Taman Perindustrian Kapar Bestari, Klang.
Ringkasan AI
- Letupan berlaku di sebuah kilang kimia, menyebabkan kerosakan teruk pada struktur bangunan kilang tersebut dan kilang berdekatan. Sebuah lori tangki hancur akibat letupan, namun tiada kehilangan jiwa dilaporkan.
- Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menyiasat elemen kecuaian dan pelanggaran syarat lesen. Mereka menunggu kebenaran pihak bomba untuk memasuki lokasi kejadian.
- Pasukan Hazmat menjalankan pengujian udara dan mendapati udara dalam keadaan normal. Bahan yang terlibat adalah jenis recycle acid.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya akan menunggu kebenaran pihak bomba sebelum memasuki lokasi tersebut.
"Siasatan akan menjurus isu kecuaian atau terdapat pelanggaran syarat lesen yang dikeluarkan oleh JAS," katanya pada Selasa.
Dalam kejadian pada Ahad, sebuah lori tangki hancur akibat letupan di sebuah kilang kimia di lokasi terbabit, namun tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa.
Insiden itu turut menyebabkan kerosakan pada bangunan kilang berkenaan serta kilang berdekatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 4.45 petang Isnin.
Pasukan Hazmat (Unit Pengurusan Bahan Berbahaya) menjalankan pengujian udara dan mendapati udara dalam keadaan normal dan bahan terlibat adalah jenis recycle acid. -Sinar Harian
#Jabatan Alam Sekitar
#letupan kilang
#Taman Perindustrian Kapar Bestari Klang
#kecuaian dan pelanggaran syarat lesen