Letupan kilang di Pasir Gudang: 2 melecur, seorang patah kaki terjun bangunan

Aiman Hakeem Awazmin
Februari 24, 2022 23:38 MYT
Dua mangsa melecur pada tangan, manakala seorang lagi patah kaki kiri selepas terjun dari bangunan untuk menyelamatkan diri. - Gambar/ Media sosial
PASIR GUDANG: Tiga pekerja kilang memproses getah tiruan cedera dalam kejadian kebakaran di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dua mangsa melecur pada tangan, manakala seorang lagi patah kaki kiri selepas terjun dari bangunan untuk menyelamatkan diri.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran berpunca daripada dua buah tangki simen yang meletup serta telah menyebabkan kerosakan pada tangki simen tersebut.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dibantu pasukan bomba kilang itu sendiri pada jam 8.30 malam.
“Kejadian yang berlaku tidak mengakibatkan kehilangan nyawa dan kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Penawar Pasir Gudang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, kejadian kebakaran kilang petrokimia berkenaan mengejutkan penduduk di sekitar Tanjung Langsat, malah asap tebal serta api letupan berkenaan boleh dilihat di sebahagian kawasan di Pasir Ris dan Punggol di Singapura.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata, operasi pemadaman disertai 38 anggota dari BBP Pasir Gudang, BBP Johor Jaya dan BBP Larkin.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 10 malam dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan
#letupan kilang #Pasir Gudang #Tanjung Langsat #pekerja melecur
;