Letupan, kebakaran kilang petrokimia kejutkan penduduk Pasir Gudang

Aiman Hakeem Awazmin
Februari 24, 2022 22:06 MYT
Pihak bomba menerima laporan jam 5.16 petang dan segera menghantar pasukan ke lokasi kejadian. - Gambar/ Media sosial
PASIR GUDANG: Penduduk di sekitar Tanjung Langsat di sini dikejutkan dengan kejadian letupan dan kebakaran sebuah kilang petrokimia di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat di sini, petang tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Abdul Rahman Azezulkifle Sahimi, berkata pihaknya menerima laporan jam 5.16 petang.
Katanya, tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Larkin dan Johor Jaya segera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.
Katanya tindakan kawalan dan pemadaman sedang dilakukan sehingga kini.
Beliau berkata, punca kebakaran, anggaran kerugian serta jumlah mangsa yang terlibat masih dalam siasatan.
Kejadian itu turut mendapat perhatian warga Singapura terutama yang tinggal di Pasir Ris dan Punggol, yang dapat melihat asap tebal dan api yang terhasil daripada letupan berkenaan dengan jelas.
Media di negara itu, termasuk CNA juga berkongsi gambar serta rakaman video kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata beliau dimaklumkan pasukan bomba, kejadian itu tidak melibatkan kematian namun dua pekerja kilang melecur di tangan.
Katanya, pasukan bomba juga memaklumkan keadaan adalah terkawal dengan pasukan bomba kini menjalankan kerja penyejukan tangki dan memadamkan kebakaran saluran paip.
"Saya menyeru supaya penduduk-penduduk di Pasir Gudang yang meliputi dua kawasan Parlimen yang bersebelahan iaitu Parlimen Tebrau dan Parlimen Pasir Gudang supaya tidak panik dan cemas.
"Ikuti perkembangan semasa tentang kebakaran kilang berkenaan dari sumber yang rasmi iaitu pihak bomba dan polis," katanya.
#letupan kilang #Pasir Gudang #kebakaran kilang #Tanjung Langsat
;