Letupan di Padang Besar: Pengawal keselamatan dihukum penjara, mengaku sebenarnya mahu bergurau

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 22, 2023 13:49 MYT
Hapizal Saad, 42, turut dihukum penjara empat bulan atas pertuduhan menyalahgunakan dadah di Padang Besar pada 30 Jun lalu. - Gambar/ Astro AWANI
KANGAR: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret, Kangar hari ini, atas kesalahan memiliki bahan letupan dan melakukan khianat dengan mercun buatan sendiri di sebuah sekolah rendah di Padang Besar, 16 Ogos lalu.
Hapizal Saad, 42, turut dihukum penjara empat bulan atas pertuduhan menyalahgunakan dadah di Padang Besar pada 30 Jun lalu.
Tertuduh menggangguk faham dan mengaku bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama, dia melakukan khianat dengan menggunakan mercun buatan sendiri dan menyebabkan kerosakan sebuah khemah milik Sekolah Kebangsaan Padang Besar Utara sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM50 sekitar jam 4.50 pagi 16 Ogos.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didapati memiliki bahan letupan iaitu sebungkus plastik lutsinar mengandungi 100 biji mercun bola besar dan satu kotak mercun yang tertera 8426 Thunder Clap di sebuah rumah di RPA Padang Besar jam 5.30 petang hari yang sama.
Atas perbuatan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara bagi kesalahan penyalahgunaan dadah pula, dia didapati menggunakan dadah berbahaya iaitu Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada 30 Jun lalu pada jam 5.15 petang.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali serta wajib menjalani pengawasan tidak lebih daripada tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Hasnor Arysha Hamdan dan Shazwan Shahidan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Berdasarkan fakta kes serta pengakuan tertuduh, Hapizal menyatakan perbuatannya itu sebenarnya adalah bertujuan gurauan semata-mata.
Namun, Nurul Atikah dalam hujahannya memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Hasnor Arysha dan Shazwan merayu mahkamah agar anak guam mereka dapat diberikan hukuman yang setimpal memandangkan dia sudah menyesal dengan perbuatan yang dilakukan.
Selain itu dalam rayuan, mereka menyatakan tertuduh hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji sekitar RM1,300 untuk menampung kehidupannya.
Mereka turut merayu mahkamah menetapkan hukuman yang dijatuhkan itu bermula dari tarikh suspek ditangkap iaitu 16 Ogos lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan 12 bulan bagi pertuduhan kedua dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap.
Bagi kesalahan penyalahgunaan dadah pula, mahkamah menetapkan hukuman penjara empat bulan kepada Hapizal dari tarikh sabitannya iaitu 22 Ogos.
#letupan padang besar #hukuman penjara #tertuduh dihukum #gurauan
;