Letupan di Karachi sasarkan hubungan Pakistan-China

Bernama
April 27, 2022 12:13 MYT
Anggota polis serta pasukan pencegahan jenayah memeriksa kenderaan susulan kejadian letupan di pintu masuk Universiti Institut Confucius di Karachi. - Foto REUTERS
NEW DELHI: Letupan bom yang mengorbankan tiga guru Cina di Karachi pada Selasa dilihat sebagai percubaan untuk menjejaskan hubungan dan projek ekonomi antara Pakistan-China.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif diiringi beberapa menteri, termasuk Menteri Hal Ehwal Luar Hina Rabbani Khar dan Menteri Dalam Negeri Rana Sanaullah Khan, melawat Kedutaan China di Islamabad bagi mengucapkan takziah.
"Serangan itu tidak akan berjaya menjejaskan "hubungan antara kedua-dua negara"," kata Shehbaz.
Beliau memberi jaminan kepada kuasa usaha China, Pang Chunxue bahawa kejadian itu akan disiasat segera dan Pakistan akan memastikan dalang di sebalik kejadian itu akan menerima hukuman sewajarnya, menurut pejabat perdana menteri dalam hantaran di media sosial.
"Perbuatan pengecut itu juga satu serangan terhadap persahabatan dan kerjasama berterusan antara kedua-dua negara.
"Pakistan dan China adalah mempunyai hubungan yang rapat. Pakistan sangat mementingkan keselamatan warga China, projek dan institusinya di Pakistan," menurut Kementerian Hal Ehwal Luar dalam satu kenyataan.
Tiga warga China dan seorang pemandu rakyat tempatan terbunuh dalam serangan bom, berhampiran Institut Confucius Universiti Karachi.
BACA: Tiga warga China antara terbunuh dalam insiden letupan di Karachi
Kumpulan pengganas Tentera Pembebasan Baloch, yang menentang projek infrastruktur dibina di bawah Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu.
Lebuh raya, loji janakuasa dan zon perindustrian adalah sebahagian daripada pelaburan besar China di Pakistan yang mendapat sokongan kerajaan.
"Ini adalah satu lagi serangan dengan agenda khusus cuba menjejaskan hubungan strategik Pakistan-China. Kita mesti mengalahkan agenda musuh yang disokong anasir asing ini," kata bekas perdana menteri Imran Khan.
Kumpulan pengganas turut menyasarkan kakitangan China yang bekerja di projek infrastruktur Pakistan sebelum ini.
Tahun lalu sembilan warga China dan empat rakyat Pakistan terbunuh dalam satu letupan menyasarkan bas yang dalam perjalanan ke tapak projek kuasa hidro Dasu 4,300 megawatt di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Kumpulan pengganas Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) didakwa bertanggungjawab atas serangan itu.
Kementerian Luar China dalam satu kenyataan di laman sesawangnya pada Selasa memberi amaran dalang di sebalik serangan terbaharu itu "pasti akan menerima hukuman setimpal."
-- BERNAMA
#letupan bom #guru Cina #hubungan #Shehbaz Sharif
;