Letupan di CityONE: Jumlah mangsa cedera meningkat
Rohana Wahed
Disember 5, 2018 09:16 MYT
Disember 5, 2018 09:16 MYT
Jumlah mangsa insiden letupan gas di CityONE Megamall, Kuching meningkat kepada 44 orang mangsa.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikejarkan ke tiga buah hospital iaitu Hospital Umum Sarawak, Borneo Medical Centre dan Timberland Medical Centre.
Mangsa dikejarkan ke hospital terbabit dengan ambulans dan kereta persendirian oleh orang ramai.
Sementara itu, tiga mangsa maut dalam letupan di CityOne Megamall di Jalan Song telah dikenal pasti.
Mangsa dikenali sebagai Tchee Kiam Jong, 24 tahun, Chin Hsien Loong 29 tahun dan O Kui Lim, 49 tahun.
Kesemua mangsa dipercayai terkorban akibat dihempap runtuhan susulan letupan gas yang berlaku di satu premis di pusat beli belah terkemuka di Jalan Song di sini yang menjadi tumpuan warga bandar raya terutama pada hujung minggu.