Lestari Niaga@Kuala Lumpur: Kompleks Makan Tanglin kini lebih tersusun, ceria, selesa
Israr Khalid
September 1, 2024 13:24 MYT
September 1, 2024 13:24 MYT
KUALA LUMPUR: Sebut sahaja Kompleks Makan Tanglin, pasti warga kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kenal dan teringat pelbagai makanan ‘legend’ yang ada di situ.
Ringkasan AI
- Kompleks Makan Tanglin di Kuala Lumpur telah dinaik taraf di bawah Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meningkatkan keselesaan dan kebersihan.
- Penaiktarafan termasuk pembinaan bumbung baru, lantai, meja dan kerusi makan, serta landskap. Kini terdapat 296 tempat duduk dan 136 petak letak kereta, termasuk tiga petak khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).
- Peniaga seperti Rosnah Husin dan Roslina Mokhtar berterima kasih atas penaiktarafan yang memudahkan perniagaan mereka dan meningkatkan keselesaan pelanggan. Mereka berharap penambahan tempat makan dan parkir dapat dilakukan di masa hadapan.
Terletak di Jalan Cenderasari berdekatan Taman Botani Perdana, Kompleks Makan Tanglin kerap dibanjiri warga kota terutamanya waktu sarapan pagi dan makan tengah hari.
Tempat makan yang bersebelahan dengan Klinik Kesihatan Tanglin ini sudah wujud sejak berdekad-dekad lamanya; dibina di atas tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan menjadi tumpuan pesakit dan keluarga yang menyantuni klinik serta kompleks pejabat sekitarnya.
Kompleks Makan Tanglin merupakan salah satu daripada 63 buah pusat dan gerai penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan yang telah berjaya dinaik taraf sepenuhnya di bawah Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur.
Inisiatif yang dikelolakan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini bermatlamat untuk menjadikan fasiliti tersebut lebih indah, bersih, tersusun dan selesa buat peniaga serta pengunjung.
Kerja-kerja penaiktarafan setakat ini sudah dijalankan dalam tiga fasa - bermula pada 1 April 2023 melibatkan pembinaan bumbung depan dan sisi serta lantai baharu, pembaikpulihan struktur bangunan sedia ada, pembekalan meja dan kerusi makan baharu, serta keperluan landskap.
Siap pada 28 Februari 2024, Kompleks Makan Tanglin kini mempunyai 296 tempat duduk berbanding sebelumnya hanya 78 tempat duduk sahaja, dan 136 petak letak kereta termasuk tiga petak khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) berbanding dahulu 106 petak sahaja.
Rosnah Husin, isteri kepada Pak Din Ikan Bakar yang berniaga di situ sejak 20 tahun lepas, amat berterima kasih atas penaiktarafan yang dilaksanakan; tidak sekadar memberi kesenangan kepada mereka untuk berniaga dan keselesaan kepada pelanggannya tetapi juga rasa didengari dan dihargai.
“Kalau dulu sekadar berbumbungkan kanopi kanvas, bila hujan bocor air masuk, dengan angin tiup, tiang patah, macam-macam.
“Tapi setelah Perdana Menteri datang hari itu, kami bersyukur sangat sebab tempat kami sudah bersih, menarik, pengunjung selesa, penambahan tempat parkir, ada surau, tandas pun sudah berfungsi dengan baik, alhamdulillah.”
Perasaan sama dilantunkan Roslina Mokhtar, wakil peniaga Kompleks Makan Tanglin, yang berniaga menjual nasi campur sejak 25 tahun yang lalu.
Beliau yang mengambil alih perniagaan ibunya yang bertapak di situ sejak hampir enam dekad lalu menyaksikan pelbagai fasa perubahan dan penaiktarafan medan selera tersebut, dan kali ini menurutnya ia berada pada tahap yang terbaik.
“Sangat berbeza daripada sebelum ini, dulu tempat makan memang sedikit hingga orang terpaksa beli bungkus dan beratur panjang, tapi sekarang tempat duduk untuk makan sudah banyak, sudah selesa dan paling penting bersih.
“Kemudahan parkir bertambah, tandas pun sudah cantik dan bersih, sudah sejuk sedikit dengan penambahan kipas, dan juga sekarang sudah ada surau, senang orang ramai yang berkunjung ke sini nak bersembahyang.”
Selain itu, laluan khas untuk memudahkan pergerakan OKU keluar dan masuk ke ruang dalam Kompleks Makan serta laluan pejalan kaki juga sudah dibuat dengan baik.
Bersyukur dan berterima kasih, mereka pada masa sama berharap beberapa perkara boleh ditambah baik lagi seperti penambahan tempat makan serta tempat letak kereta dan motosikal.
Ini kerana, menurut Roslina, tempat parkir di situ tidak hanya digunakan oleh pengunjung Kompleks Makan tersebut tetapi ia dikongsi bersama Klinik Kesihatan Tanglin untuk pesakit mereka, malah dengan orang awam memandangkan ia percuma.
“Disebabkan mereka menambah jumlah petak parkir maka ruangnya sudah jadi mengecil dan sedikit sempit, tetapi masih selesa.
“Tempat makan juga perlu ditambah lagi kerana tempat ini selalu ramai orang dan selalu tak cukup tempat duduk.”
Rosnah pula melihat ada baiknya jika dibina tempat parkir bertingkat untuk menyelesaikan masalah tersebut, tetapi jika dikenakan bayaran, biarlah berpada.
“Teh o kami jual RM1, teh tarik RM2, andai kata bayaran parkir RM3 tak berbaloi untuk pengunjung untuk datang minum di sini.”
Walau bagaimanapun, katanya, mereka diberitahu bahawa akan ada satu lagi fasa penaiktarafan di bahagian belakang Kompleks Makan tersebut yang dijangka mula dilaksanakan tahun depan, melibatkan pembinaan bumbung baharu dan penambahan meja dan kerusi untuk pengunjung.
Hasilnya, peniaga dan pengunjung Kompleks Makan Tanglin akan dapat menikmati kebaikan dan keselesaan daripada penaiktarafan yang baharu ini.
Jabatan Wilayah Persekutuan bersama DBKL ketika ini sedang menjalankan kerja-kerja penaiktarafan 20 lagi lokasi terpilih di bawah Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur yang melibatkan peruntukan lebih RM10 juta.