Lesen usahawan FAMA ditarik balik jika kenakan GST - Badruddin

Bernama
Mei 11, 2015 21:56 MYT
BADRUDDIN: Lesen usahawan FAMA ditarik balik jika kenakan GST - Gambar fail
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi amaran akan menarik balik lesen usahawan FAMA yang mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) terhadap produk keluaran mereka.
Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata tindakan itu akan diambil terhadap usahawan FAMA yang gagal mengikut arahan kerajaan untuk tidak mengenakan CBP terhadap barangan keperluan harian.
"Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan. Kerajaan telah membantu mereka menjalankan perniagaan jadi tidak wajar mereka mengambil kesempatan melalui CBP ini," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Seminar Keusahawanan dan Pembekal Produk Peruncitan Wilayah Utara 2015, hari ini.
FAMA menurutnya, telah mengadakan seminar bagi memberi penjelasan berkaitan CBP, tetapi sekiranya usahawan masih cuba mengambil kesempatan, lesen mereka akan ditarik manakala bantuan perniagaan dihentikan.
Badruddin berkata sejak CBP mula dilaksana 1 April lepas, pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada pembeli berhubung perkara itu.
"Tetapi sekiranya ada (dikenakan CBP) sekalipun, berkemungkinan mereka (pengguna) masih kurang memahami pelaksanaan CBP ini. Mereka belum memahami secara terperinci apa barang yang dikenakan CBP (sebab itu mungkin tidak buat aduan)," katanya.
Badruddin memberi jaminan harga barangan keperluan di 580 pasar tani di seluruh negara terus kekal biarpun kerajaan telah melaksanakan CBP.
#badruddin #FAMA #GST #pasar tani
;