Lesen robohkan stadium akan ditarik jika tidak patuhi prosedur
Astro Awani
Februari 26, 2013 19:25 MYT
Februari 26, 2013 19:25 MYT
Lesen kontraktor menjalankan kerja merobohkan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal, Kuala Terengganu akan ditarik balik jika ia tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Amalan Terbaik Industri Pembinaan CIDB, Ir. Jamaludin Nor berkata siasatan awal menunjukkan insiden berkenaan berlaku akibat kurang pengalaman.
Menurut Jamaludin, siasatan lengkap akan dijalankan dan insiden terbabit bakal dijadikan sumber rujukan prosedur standard yang boleh dibangunkan pada masa depan.
“Pihak kami akan membuat siasatan lagi sekali dan supaya perkara ini tak berlaku lagi. Dan dari segi awalan siasatan, kita dapati bahawa memang tak cukup pengalaman bagi kontraktor untuk membuka semula rangka-rangka yang telah runtuhkan tempoh hari,” kata beliau kepada wartawan.
Jelasnya perkara itu termaktub di bawah Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 1994.
Pihak kontraktor yang didapati cuai atau tidak mengikut prosedur kerja ditetapkan boleh dihukum.
Sebelum ini runtuhan terbaru struktur bumbung stadium menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan.
Insiden sama telah berlaku pada Jun 2009 mengakibatkan struktur bumbung di sebelah timur roboh sehingga menyebabkan stadium yang menjadi lokasi utama Sukan Malaysia 2008 itu terpaksa ditutup.