Lesen restoran, kafe di Ipoh tidak diperbaharui jika tandas kotor
Aida Aziz
Jun 27, 2023 12:50 MYT
Jun 27, 2023 12:50 MYT
IPOH: Tandas di semua restoran dan kafe di bandar raya ini diwajibkan memperoleh penarafan empat bintang atau berdepan tindakan lesen premis tidak diperbaharui berkuat kuasa Januari tahun depan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata tindakan itu adalah usaha pihaknya yang mahu peniaga di bandar raya ini lebih bertanggungjwab dan serius dalam menjaga kebersihan tandas.
Katanya lagi, ia juga bertepatan dengan harapan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam memastikan tandas awam mencapai standard 'Bersih, Menawan dan Wangi (BMW)'.
"Kita memang sentiasa periksa tandas-tandas awam dalam kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kita bagi mereka (masa) sampai hujung tahun ini.
"Kalau mereka (peniaga) tidak boleh naik taraf kepada empat bintang, kemungkinan kita tidak akan perbaharui lesen perniagaan bagi tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Jun di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Selasa.
Bagaimanapun menurut Rumaizi, tindakan tegas tersebut hanya akan dilakukan sekiranya pemilik restoran atau kedai makan itu mengambil sikap acuh tak acuh, setelah amaran dikeluarkan.
"Alasan yang selalu mereka beri kalau ditanya tentang tandas kotor ialah pengunjung ramai dan tiada masa untuk bersihkan.
"Sebelum tindakan MBI tidak perbaharui lesen, kita akan beri amaran terlebih dahulu dan beri peluang kepada mereka, jika masih berdegil dan sebagainya maka kita akan batalkan lesen," katanya lagi.
Terdahulu, pada mesyuarat tersebut, salah seorang Ahli Majlis MBI membangkitkan isu tandas awam di beberapa lokasi di bandar raya ini yang begitu kotor dan tidak diselenggara dengan sebaiknya.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 2,847 premis restoran dan kafe dalam kawasan MBI, dan kesemuanya mencapai tahap kebersihan tandas tiga bintang ke atas.
"Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI terus meningkatkan aktiviti pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tandas awam di premis makanan mencapai tahap BMW," katanya.
Beliau berkata, sehingga 26 Jun tahun ini, sebanyak 592 daripada 897 tandas premis restoran dan kedai makan yang telah dinilai mencapai tahap empat bintang dan ke atas.
Sebanyak 288 tawaran kompaun bernilai RM67,500 telah dikeluarkan di bawah UUK 4(1) Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan 1981 atas pelbagai kesalahan termasuk kebersihan tandas awam.
"Apa yang berlaku di Ipoh ini sebenarnya ada satu kejutan, sebelum ini Ipoh sunyi saja. Tetapi bila kita gerakkan aktiviti pelancongan, orang ramai datang berganda-ganda.
"Jadi mereka (peniaga) belum biasa, sebagai contoh kita tanya pada bandar pelancongan seperti Cameron Highlands, permulaannya memang begitu... sebab itu kita bagi peniaga di sini masa untuk terima perubahan tersebut," katanya.