Lesen Pendudukan Sementara: MAFI akan berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri - PM

Astro Awani
Mac 24, 2022 23:16 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan berkenaan adalah supaya kerajaan negeri dapat memanjangkan tempoh sewaan atau pajakan bagi mewajarkan pelaksanaan projek-projek pertanian berdaya maju. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) itu turut menetapkan Sekretariat EAC, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan MAFI mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia.
Kata Perdana Menteri, beliau ingin lihat sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara bergerak maju seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Dalam memacu usaha pemulihan ekonomi negara, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengambil maklum dan bersetuju memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalak pertanian pintar," katanya dalam entri di laman sosial Facebooknya pada Khamis.
Sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara, perbincangan mesyuarat EAC itu melibatkan pembentangan dari beberapa pemain industri utama iaitu MAFI, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.
#MAFI #Lesen Pendudukan Sementara #tol #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Kementerian Pertanian dan Industri Makanan #EAC
;