Lesen media sosial: Langkah kerajaan pastikan pengendali platform bertanggungjawab - Pakar
Bernama
Ogos 18, 2024 13:15 MYT
Ogos 18, 2024 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah melesenkan media sosial di negara ini dilanggap sebagai inisiatif awal kerajaan untuk memastikan pengendali platform memahami dan bertanggungjawab terhadap keselamatan serta privasi pengguna.
Pensyarah Jabatan Kepintaran Buatan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Aznul Qalid Md Sabri berkata pelaksanaan lesen itu bukan perkara baharu, malah telah dilaksanakan di negara lain.
"Pelaksanaan ini merupakan langkah proaktif yang menyediakan jaringan keselamatan, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang diperlukan untuk pengguna media sosial di Malaysia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menyifatkan sudah tiba masanya untuk kerajaan melesenkan media sosial, Aznul Qalid berkata langkah yang akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu berdasarkan beberapa syarat untuk melindungi pengguna media sosial.
Antaranya termasuk dasar dan langkah-langkah melindungi data pengguna serta langkah keselamatan untuk kanak-kanak, seperti jaminan umur bagi menghalang pengguna di bawah 13 tahun daripada mengakses platform yang diuruskan oleh penyedia perkhidmatan.
Ketika ditanya mengenai keberkesanan langkah melesenkan media sosial, Aznul Qalid berkata terdapat negara yang telah melaksanakan langkah tersebut untuk membendung kegiatan tidak diingini dalam talian, namun kebanyakan negara memilih untuk menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada
Sebagai contoh, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menguatkuasakan lesen tetapi lebih memfokuskan kepada pencipta kandungan dalam pelesenan tersebut. Berbeza dengan Malaysia, yang disifatkan beliau sebagai unik kerana memerlukan pengendali platform untuk memohon lesen.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata pelaksanaan lesen mampu membendung pemalsuan wajah atau deepfakes yang semakin berleluasa dalam talian.
Beliau juga menegaskan bahawa langkah yang diambil kerajaan bukan drastik mahupun bersifat mengongkong kebebasan berkomunikasi atau melahirkan perasaan masyarakat.
Sebagai contoh, Suruhanjaya Eropah telah mengambil langkah awal apabila pada 2021 mencadangkan undang-undang untuk mengawal selia AI.
"Pada Mei lepas, Parlimen Eropah telah meluluskan akta AI dengan matlamat antaranya mengawal selia dan melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani risiko AI dalam pelbagai sektor," katanya.
Tambahnya, pelesenan platform media sosial tidak boleh ditangguhkan lagi apabila kesan AI terhadap kesejahteraan masyarakat tidak begitu berhasil menerusi strategi tapisan kendiri.
"Disebabkan kegagalan mengawal emosi dan kewarasan perilaku, para netizen mudah bertindak melakukan deepfakes, menghasilkan kandungan jelek, fitnah, hasutan serta jenayah buli siber," katanya.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan satu strategi untuk mengukuhkan tahap kebertanggungjawaban media baharu terhadap masyarakat menerusi platform media baharu.
Kebanyakan platfom media baharu meraih pendapatan dan keuntungan besar, dan seharusnya bergerak dalam kerangka yang dapat memastikan mereka dalam masa sama, melaksanakan tanggungjawab sosial dan moral.
"Mereka tidak boleh hanya ghairah mengejar keuntungan tanpa mengambil tanggungjawab bagi memastikan kandungan-kandungan yang dihasilkan oleh netizen di platform mereka adalah sihat.
"Malah, langkah perlesenan ini secara tidak langsung dapat memantapkan tahap kepercayaan terhadap platform-platform media sosial melalui tapisan kendiri platform tersebut," katanya.
-- BERNAMA