Lesen Lynas boleh ditarik balik - Khary Jamaluddin
Umavathi Ramayah
Julai 16, 2020 14:25 MYT
Julai 16, 2020 14:25 MYT
Lesen operasi loji pemprosesan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) boleh ditarik balik sekiranya syarikat itu tidak memulakan proses pembangunan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) dalam tempoh setahun kelulusan lesen.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, sebagai pemegang lesen yang telah diperbaharui selama tiga tahun mulai Mac lalu, Lynas disyaratkan memulakan proses itu pada tahun pertama dari tarikh kelulusan lesen.
Katanya, lesen ini telah diluluskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada bulan Mac 2020 untuk tempoh tiga tahun sehingga 2 Mac 2023.
"Bagaimanapun, sekiranya Lynas tidak dapat memulakan proses pembangunan PDF dalam tempoh satu tahun iaitu daripada keputusan untuk dilanjutkan lesen ini dibuat, yakni pada Mac 2021, maka lesen itu boleh ditarik balik," katanya pada Mesyuarat Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Yeo Bee Yin (Bakri-PH) mengenai sama ada kerajaan akan menarik balik lesen Lynas sekiranya tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).
Mengulas lanjut Khairy berkata, pemeriksaan yang dijalankan oleh AELB juga mendapati Lynas mematuhi semua peruntukan dan syarat lesen yang dikenakan di bawah akta berkenaan.
Justeru itu, katanya, kerajaan bersetuju supaya lesen operasi Lynas diteruskan.