Lesen E2, E1, E digabung jadi satu Kelas Lesen E mulai 1 Mac - Wee
Bernama
Februari 27, 2022 16:54 MYT
Februari 27, 2022 16:54 MYT
JOHOR BAHRU: Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi kenderaan perdagangan dalam Kelas Lesen E sedia ada, iaitu E2, E1 dan E, akan digabungkan menjadi satu Kelas Lesen E sahaja berkuat kuasa mulai 1 Mac ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau berkata penggabungan tersebut bakal memudahkan urusan dan menjimatkan masa serta membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada individu yang bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan, terutama dalam tempoh pascapandemik COVID-19.
"Mereka boleh memandu semua kelas kenderaan motokar berat (dengan mempunyai LMM dalam Kelas Lesen E) dan tidak terhad kepada sesuatu kategori berat tanpa muatan (BTM) kenderaan motokar berat tertentu sahaja," katanya.
Beliau berkata dalam ucapannya ketika melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya anjuran Persatuan Pengusaha Lori Bahan Batuan Johor yang turut dihadiri Presidennya Chia Jee Onn di Ulu Tiram di sini hari ini.
Lesen E melibatkan motokar berat tanpa muatan melebihi 7,500 kg, E1 tidak melebihi 7,500 kg dan E2 tidak melebihi 5,000 kg.
Selain itu, hanya sekitar 62,000 orang masih aktif daripada kira-kira 90,000 pemegang Lesen E1 dan E2 yang direkodkan, di samping 11,000 sahaja yang mempunyai Lesen Vokasional.
Justeru, Wee berkata pemegang Lesen E1 dan E2 sedia ada akan ditawarkan untuk menjalani program peralihan bagi mendapatkan Lesen E.
Permohonan tersebut bermula pada 1 Mac ini dan individu terlibat diberi tempoh lima tahun untuk menjalani program tersebut.
Program peralihan itu juga akan ditawarkan kepada pemegang Lesen Vokasional dalam Kelas E1 and E2 ke Lesen Vokasional Kelas E.
"Ini amat penting demi memastikan tahap kompetensi dan keselamatan pemanduan individu terlibat," katanya.
-- BERNAMA