Lesen dibatalkan jika pemilik ladang kelapa sawit gagal dapat sijil MPSO tahun depan

Bernama
November 20, 2019 08:32 MYT
Kerajaan menyasarkan 70 peratus kawasan penanaman kepala sawit memperoleh sijil MPSO menjelang Februari 2020. - Gambar hiasan
Pemilik ladang kelapa sawit yang mempunyai tanah seluas 100 ekar (40 hektar) berdepan risiko lesen mereka dibatalkan sekiranya gagal mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MPSO) mulai tahun, kata Menteri Perindustrian Utama Teresa Kok.
Beliau berkata langkah itu bertujuan membuktikan kesungguhan kerajaan berhubung perlaksanaan persijilan MPSO.
"Setakat Oktober 2019, 328 kilang minyak sawit atau 72.6 peratus daripada keseluruhan 448 kilang minyak sawit telah memperoleh sijil MPSO," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB PIPOC) 2019 di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Kok berkata setakat Oktober 2019, 60 peratus daripada keseluruhan kawasan penanaman kelapa sawit telah memperoleh sijil MPSO.
"Kerajaan menyasarkan 70 peratus kawasan penanaman kepala sawit memperoleh sijil MPSO menjelang Februari 2020," katanya.
Mengenai usaha Malaysia supaya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) campur tangan berhubung dasar diskriminatif Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit, Kok menegaskan bahawa kertas kabinet mengenai isu itu telah diedarkan dalam kalangan menteri.
"Kami akan membentangkan dan membincangkan kertas itu pada mesyuarat kabinet bulan depan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata industri minyak sawit di Malaysia telah diarahkan untuk mematuhi tahap 3MCPDE (3-Monochloropropane-1, 2-diol ester) 2.5 ppm untuk produk makanan yang ditetapkan oleh EU menjelang 2021.
"Beberapa pusingan rundingan telah dilakukan bersama penggiat industri, dan kami kini dalam proses menguatkuasakan beberapa peraturan bagi memastikan pengeluaran minyak sawit memenuhi tahap keselamatan yang diterima untuk 3MCPDE," katanya.
Kok juga berkata pada awal tahun depan, kerajaan akan mencari dana khusus untuk inisiatif hijau, terutama bagi penanaman pokok dan pemuliharaan hidupan liar, dengan bayaran ces sebanyak RM1 akan dikumpulkan untuk tujuan itu.
-- BERNAMA
#EU #inisiatif hijau #kabinet #kelapa sawit #kerajaan #Kesatuan Eropah #keselamatan #kilang minyak sawit #Malaysia #Minyak Sawit Lestari #MPSO #pemilik ladang #sijil #Teresa Kok
;