Lesen bot yang dipajak dan disewa kepada nelayan Vietnam akan dibatal - Ismail Sabri
Bernama
September 6, 2013 07:39 MYT
September 6, 2013 07:39 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membatal serta merta lesen pengusaha bot nelayan tempatan yang memajak dan menyewakan bot mereka kepada nelayan Vietnam.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata nama nelayan tersebut juga akan disenarai hitam.
"Mana-mana bot yang telah dibatalkan lesen juga tidak dibenarkan beroperasi semula walaupun dengan menggunakan nama pengusaha atau nelayan lain," katanya kepada pemberita selepas bertemu nelayan tempatan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata kementerian juga tidak akan mengeluarkan lesen baharu ke atas mana-mana bot yang telah dikenakan tindakan.
Keputusan itu katanya, ekoran insiden pergaduhan yang dikatakan berlaku antara nelayan pukat jerut tempatan dengan nelayan Vietnam pada 2 Sept lepas, kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Pahang, Pahang.
Dalam insiden itu, lima bot nelayan tempatan mendakwa mereka dilempar bom petrol dan ditembak bot nelayan asing.
Ismail Sabri berkata aktiviti bot nelayan asing juga sering melanggar peraturan dan ada yang didapati menjual hasil tangkapan ke negara asal mereka.
"Kebanyakan nelayan asing juga sering melakukan aktiviti yang mengakibatkan unjang atau tukun tiruan milik nelayan tempatan rosak," katanya.
Beliau berkata kini terdapat 1,260 lesen yang masih beroperasi, 270 lesen telah dibatal dan 41 lagi lesen dalam proses diambil tindakan.
Dalam pertemuan itu, kementerian memberi jaminan akan mengkaji semula pemberian lesen bot kargo kepada 190 pemilik kerana mendapati terdapat pemilik yang menyalahgunakan lesen berkenaan.
Seorang nelayan yang menghadiri majlis tersebut, Abdul Rahim Abdul Rahman berterima kasih kepada kementerian atas tindakan untuk membatalkan serta merta lesen pihak terbabit ekoran nelayan asing semakin menggugat mata pencarian nelayan tempatan.
"Masalah itu telah lama berlaku dan kami nelayan tempatan sangat tertekan dan amat berharap bantuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah kami. Aktiviti mereka juga membuatkan nelayan tempatan bimbang akan keselamatan semasa turun ke laut," katanya.
Talib Husin pula terharu dengan keperihatinan kementerian untuk membantu nelayan tempatan dalam berdepan masalah yang ditimbulkan nelayan asing.
"Tiada apa yang dapat saya katakan selain berterima kasih kerana ada pihak yang perihatin dengan masalah kami. Selama ini pendapatan kami terjejas dan semoga selepas ini ia akan bertambah," katanya.