Lesen Bernas mungkin ditarik balik jika gagal selesai isu pemutuan padi - Tajuddin
Bernama
Januari 7, 2017 07:00 MYT
Januari 7, 2017 07:00 MYT
Tindakan tegas termasuk kemungkinan menarik balik lesen import beras akan dikenakan terhadap Syarikat Padi Beras Nasional Bhd (Bernas) jika kemelut kadar pemotongan pemutuan padi tidak diselesaikan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara perlu sedar tujuan asal pewujudannya adalah untuk membantu petani dan matlamat itu perlu dikotakan.
"Bernas memberi perakuan dan berjanji kepada kerajaan bahawa mereka akan membantu, membela nasib dan memajukan masyarakat petani.
"Kalau Bernas tak dapat nak memenuhi obligasi serta syarat ini lebih elok kita tamatkan konsesi itu dan berikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang mempunyai kaitan dengan petani," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Pasir Salak (KuPAS) di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, para petani menyatakan ketidakpuasan hati terhadap Bernas yang membuat kadar pemotongan bagi pemutuan padi sehingga lebih 50 peratus bagi setiap tan metrik yang dijual pada musim lalu.
Selain itu, Tajuddin berjanji akan membawa isu tersebut yang membebankan golongan pesawah kepada perhatian Menteri Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi mencari jalan penyelesaian.
"Yang menjadi isu sekarang ini kita difahamkan Bernas mengenakan potongan yang begitu tinggi sehingga lebih 50 peratus, ini agak tidak logik kalau sekiranya ia disebabkan masalah kualiti (pemutuan padi).
Pada majlis itu, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada KuPAS bagi pembangunan kelab usahawan itu untuk lebih berdaya maju.
Sehingga Disember 2016, sebanyak RM13,025,600 pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diberikan kepada 1,430 sahabat AIM kawasan Pasir Salak.
"Saya difahamkan di Pasir Salak kosong peratus pinjaman tidak berbayar dan saya sebagai wakil rakyat amat berbangga dengan kejayaan ini," katanya sambil menambah tahun ini AIM menyasarkan pembiayaan sebanyak RM15 juta.
-- BERNAMA