Lesen Ali Baba: Pembantu penguat kuasa DBKL didenda RM13,000

Bernama
Ogos 15, 2024 12:35 MYT
Syahrul Riza yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum serta tidak dikenakan penjara atas alasan beliau menanggung keluarga serta mempunyai seorang isteri yang menghidap penyakit kencing kotor. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan mendapatkan wang tunai berjumlah RM1,200 bagi melindungi premis yang menggunakan lesen ali baba di ibu negara.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Syahrul Riza Md Yusof, 42, dan memerintahkannya dipenjara 21 bulan, jika gagal membayar denda.
Syahrul Riza didakwa atas lima pertuduhan iaitu sebagai pembantu penguat kuasa DBKL (KP19) di Bahagian Perkhidmatan Penguatkuasa Seksyen Pasar DBKL, telah mendapatkan wang tunai RM1,200 untuk dirinya dengan tiada balasan daripada seorang individu yang mana tertuduh ketahui ada hubungan dengan tugas rasminya.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pasar Harian Selayang di sini pada 5 petang dan 12 tengah malam, antara 27 Dis 2022 sehingga 20 Jun 2023, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiga lagi pertuduhan sama yang dihadapi Syahrul Riza sebelum ini dipertimbangkan sebagai 'take into consideration' (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Irna Julieza Maaras memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, kerana tindakannya menerima rasuah daripada pihak lain telah mencemarkan imej jabatan dan nama dirinya sendiri.
Syahrul Riza yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum serta tidak dikenakan penjara atas alasan beliau menanggung keluarga serta mempunyai seorang isteri yang menghidap penyakit kencing kotor.
Sementara itu, dua lagi pembantu penguat kuasa DBKL Muhammad Syawal Riezqan Jauhar, 28, dan Amran Mat Dali, 45, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin atas pertuduhan sama.
Muhammad Syawal Riezqan didakwa atas 11 pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM4,800, manakala Amran didakwa menerima wang tunai RM100 untuk dirinya tanpa balasan, masing-masing daripada individu sama bagi tujuan serupa.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama antara 26 Okt 2022 dan 15 Ogos 2023, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan oleh TPR Irna Julieza dan pegawai pendakwa SPRM Afiqah Ab Razak, peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim mewakili Amran, manakala Muhammad Syawal Riezqan tidak diwakili peguam.
Suzana membenarkan Amran dan Muhammad Syawal Riezqan masing-masing diikat jamin RM5,000 dan RM6,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan mereka dilarang mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Mahkamah menetapkan sebutan kes Amran pada 18 Sept manakala Muhammad Syawal Riezqan pada 19 Sept.
Media sebelum ini melaporkan beberapa penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan di sekitar ibu negara yang beroperasi secara haram, menggajikan warga asing serta menggunakan lesen Ali Baba.
-- BERNAMA
#DBKL #Mahkamah Sesyen #Rasuah #warga asing