Lesen akan ditarik, amaran Zuraida buat pengkhianat subsidi minyak masak
Shuhada Abdul Kadir
Julai 3, 2022 18:04 MYT
Julai 3, 2022 18:04 MYT
ALOR GAJAH: Kekurangan bekalan minyak masak subsidi yang didakwa kurang ketika ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan sudah menyalurkan jumlah bekalan yang mencukupi.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sebanyak 60,000 metrik tan minyak sawit sebulan diperuntukkan bagi penjualan minyak peket bersubsidi dan tidak menolak berlaku ketirisan pada rantaian penjualan barangan keperluan itu.
“Tiap-tiap bulan kita beri 60,000 metrik tan untuk minyak subsidi yang dijual dengan harga RM 2.50 satu kilogram (kg), tetapi harga sebenarnya RM9. Jadi RM6.50 subsidi yang mana jumlah itu kalau dikira kepada 32 juta rakyat Malaysia, setiap rakyat akan dapat 2 kg satu bulan.
“Kalau kita kira satu keluarga ada lima orang, (setiap keluarga) dapat 10 kg satu bulan, ada ke orang masak sampai 10 kg minyak masak? Itu bermakna jumlah itu lebih daripada mencukupi.
“Jadi sebenarnya apa yang terjadi, adakah kemungkinan ketirisan, penyeludupan atau disorok dan sebagainya. Ini yang kita nak bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Dalam negeri (KDN),” kata Zuraida.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkaitan bagi memastikan tiada pembekal menyorok mahupun menjual di pasaran gelap dan sebagainya.
Kata Zuraida, pihaknya juga akan memastikan pengeluaran minyak masak peket dari kilang akan terus sampai ke peruncit seterusnya kepada pengguna tanpa sebarang ketirisan.
“Sekarang ini kita akan meningkatkan penguatkuasaan untuk pastikan daripada pengilang memproses minyak itu akan terus sampai kepada peruncit mengikut kuota yang diberi dan mereka mesti jual kepada pengguna untuk kegunaan rumah.
“Kita sebenarnya keluarkan minyak dan serahkan kepada KPDNHEP untuk menguruskannya. Jadi kita akan bekerjasama dengan mereka untuk pastikan tidak ada ketirisan, tidak ada orang bawa lari yang mana jika dikesan melakukan kesalahan lesen perniagaan mereka boleh ditarik kerana mereka sudah khianat subsidi untuk rakyat,” katanya.
Tambahnya, penguatkuasaan merupakan mekanisme terbaik dan isu kekurangan bekalan tidak akan berlaku sekiranya ketirisan di setiap peringkat rantaian dapat dikawal sepenuhnya.