Lesen 17 kilang papan dibatalkan
Sinar Harian
Jun 6, 2018 10:03 MYT
Jun 6, 2018 10:03 MYT
Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu membatalkan lesen 17 kilang papan yang tidak beroperasi melebihi dua tahun di seluruh negeri pada tahun lalu.
Manakala pada tahun ini, sebanyak 101 kilang dalam proses semakan dan dokumentasi atas faktor yang sama.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, proses membatalkan lesen ke atas kilang yang tidak beroperasi melebihi dua tahun itu perlu diambil bagi mengelak timbulnya masalah.
"Kalau kita tidak batalkan lesen ke atas kilang yang tidak beroperasi melebihi dua tahun ini ia akan timbulkan masalah daripada segi dokumen.
"Ini kerana kita buat perkiraan daripada segi kapasiti. Cara lesen ada tetapi tidak beroperasi, sedangkan kita masih kira sebagai lesen yang hidup," katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi dialog sempena Program Ihya Ramadan, CSR dan Perjumpaan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia di Dewan Besar jabatan itu, Batu Enam, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud.
Menurut Ahmad Fadzil lagi, berdasarkan dokumentasi dan lawatan ke lapangan mendapati ada kilang yang rosak dan ditinggalkan dalam tempoh yang lama, namun lesen masih lagi aktif.
"Jadi, atas sebab itu, pihak kami membuat keputusan untuk membatalkan 17 lesen kilang pada tahun lalu dan pada tahun ini sedang membuat penilaian ke atas 101 kilang,"katanya.